All News

PROGRAM "IBS-STF MASUK KAMPUNG" UUM BERI IMPAK POSITIF DI KG. LUAR MUKIM SIONG

25 JULAI 2024 / 19 MUHARAM 1446H

==============================

Oleh: Siti Rasyidah Hassan
Gambar oleh: Pusat Pengajian Perniagaan Islam

stf

UUM ONLINE: Baling - Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah melaksanakan inisiatif Program Komuniti "IBS-STF Masuk Kampung" di Kg Luar Mukim Siong, Baling selama dua hari, baru-baru ini.

Program yang penuh makna ini dijayakan dengan kerjasama daripada Dana Sosial Takaful (STF), FWD Takaful, Pejabat Daerah dan Tanah Baling serta sokongan aktif daripada Jawatankuasa Masjid Darul Saadah Kg Luar, Persatuan Kampung LUAR, SMK Siong, dan Sekolah Rendah Agama Darul Hijrah.

Pengarah Program “IBS-STF Masuk Kampung”, Dr. Nor Syahidah Ishak berkata, program ini bukan sahaja menunjukkan komitmen UUM dalam memperkasa hubungan dengan komuniti tetapi juga sebagai sumbangan istimewa sempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan UUM.

Menurutnya, inisiatif ini menggambarkan dedikasi IBS dalam membina masyarakat yang lebih baik dan mengukuhkan hubungan silaturahim.

Antara aktiviti yang diadakan adalah Program Literasi Kewangan untuk pelajar sekolah, Program Anak Angkat, gotong-royong masjid dan menanam pokok untuk menjadikan kampung lebih hijau dan lestari.

stf2

Selain itu, program ini juga menampilkan Forum Perdana dan Karnival Literasi Kewangan Islam yang menarik minat ramai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pengedaran FWD Takaful, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi menekankan kepentingan meneruskan inisiatif seperti ini dalam usaha membangunkan potensi masyarakat setempat dan memperluaskan jaringan silaturahim.

Menurutnya, program ini bukan sahaja membantu masyarakat memahami kewangan Islam dengan lebih mendalam tetapi juga memupuk nilai kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Kejayaan program ini diharap dapat memberi inspirasi dan dorongan kepada pihak lain untuk turut serta menyokong usaha-usaha ke arah kemajuan komuniti setempat,” katanya.

stf3

Turut terlibat dalam program ini adalah seramai 60 kursus Islamic Financial Planner menerusi program SULAM serta sukarelawan dari STF.

Selain itu, 40 pensyarah dan staf IBS UUM bersama warga sekitar Mukim Siong juga berganding bahu menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang program.

Sekian.