Mon01202020

Last updateTue, 07 Jan 2020 3pm

Back You are here: Home News & Events

Bicara Maqasid Syariah oleh Permodalan Nasional Berhad

pnbberita2

Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengadakan sesi jelajah Bicara Maqasid Syariah di UUM pada 1 Oktober 2019 di Dewan Seminar A Pusat Konvesyen UUM. Program dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM dan Kelab Kewangan dan Perbankan Islam (IFBA) ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para peserta tentang kepentingan pelaburan dan kelebihan melabur dalam unit amanah. Di samping itu program ini mendedahkan masyarakat kampus tentang keperluan melakukan pelaburan berasaskan Syariah.

Sesi Bicara Maqasid Syariah dikendalikan oleh Dr Ahmad Basri Ibrahim Naib Presiden/Ketua Jabatan Pengurusan Syariah PNB yang menarik minat hampir 250 orang peserta. Program yang dirasmikan oleh PM Dr Nasri Md Hussan, Dekan IBS turut juga dihadiri oleh kakitangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan mahasiswa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Dalam ucapannya, PM Dr Nasri menzahirkan rasa bangga di atas kesudian institusi pelaburan terbesar negara ini mengadakan sesi perkongsian ilmiah bersama mahasiswa di UUM.

Di akhir program delegasi PNB juga berkesempatan melawat Anjung Tamu UUM bagi mengetahui sejarah penubuhan UUM di samping meninjau fasiliti dan kemudahan yang terdapat di kampus UUM

ISGAIF IBS raih geran penyelidikan industri - FWD TAKAFUL BERHAD

fwd takafulnews2

Institute of Syariah Governance and Islamic Finance (ISGaIF) iaitu SCoE di bawah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (Islamic Business School-IBS) telah berjaya meraih geran penyelidikan industri sebanyak RM250,000 daripada FWD Takaful Berhad. Penyelidikan yang bertajuk “Suitable Takaful Product and Distribution Channel for B40 in Malaysia” diketuai oleh felo penyelidik ISGaIF iaitu Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim serta dianggotai oleh pensyarah daripada IBS iaitu Dr. Mohamad Yazid Isa, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor, Dr. Wahidah Shari dan Dr. Mohd Fikri Sofi. Penyelidikan ini juga melibatkan Dr. Shahrul Nizam Ahmad dari School of Economics, Finance and Banking (SEFB) dan juga Prof. Madya Dr. Nurul Aini Muhamed (USIM) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

FWD merupakan sebuah syarikat pengendali takaful keluarga yang berdaftar di bawah Islamic Financial Services Act (IFSA), 2013 and mendapat lesen penuh untuk mengendalikan perniagaan takaful keluarga di Malaysia. Penyelidikan ini diberi tempoh selama enam (6) bulan untuk diselesaikan dan meliputi B40 seluruh Malaysia. Antara objektif penyelidikan ini adalah untuk mengkaji bentuk dan konsep serta produk takaful mikro yang sesuai untuk kumpulan B40. Kajian ini akan mengambil kira semua sudut pandang berkaitan mikro takaful ini termasuk dari segi keperluan, manfaat, kemampuan untuk membayar, undang-undang dan peraturan serta kelestarian produk.

Satu majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan ini telah disempurnakan pada 28hb September 2019 di Dewan Warisan, Kangar Perlis. Bagi pihak UUM, majlis diwakili oleh Dr. Ayoib Che Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM dan Dr. Mohamad Yazid Isa, Ketua Jabatan Kewangan dan Ekonomi Islam sebagai mewakili Dekan IBS UUM. Manakala FWD diwakili oleh En. Salim Majid Zain Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif FWD dan Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi, Chief Strategy and Digital Distribution Officer FWD. Majlis turut disaksikan oleh En Abu Hassan Ashaari, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan barisan penyelidik.

 

Bengkel Literasi Kewangan Islam Pupuk Kesedaran Perancangan Kewangan Islam Pelajar Sekolah

literasi 2

UUM ONLINE: Kegagalan menguruskan kewangan dengan baik boleh menjurus kepada keberhutangan yang tinggi, seterusnya membawa kepada kebankrapan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Komuniti, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengambil langkah memberikan pendedahan awal kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan pada Bengkel Literasi Kewangan Islam, baru-baru ini.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Zairani Zainol berkata, setiap individu perlu tahu menguruskan kewangan secara bijak kerana kurang pengetahuan terhadap pengurusan kewangan akan menyebabkan pelbagai masalah pada masa hadapan antaranya hutang.

Menurutnya, keberhutangan yang tinggi akan menyebabkan pelbagai masalah masyarakat seperti mencuri, rasuah, menipu dan seterusnya akan meruntuhkan institusi kekeluargaan.

"Perancangan kewangan Islam pula lebih menyeluruh berbanding dengan perancangan kewangan konvensional kerana ia mengimbangi perancangan di dunia dan di akhirat, justeru individu perlu merancang kehidupan mereka di dunia yang seterusnya akan membawa kepada bekalan ke akhirat.

"Perancangan kewangan Islam perlu didedahkan kepada individu semenjak dari awal lagi terutamanya di peringkat sekolah menengah bagi memupuk kesedaran akan kepentingan perancangan kewangan kepada kehidupan mereka kelak," katanya.

Bengkel selama sehari itu telah disertai 100 pelajar Tingkatan 4 dan 5 dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah yang mengingatkan pelajar tentang kepentingan memahami sistem kewangan Islam dan perancangan kewangan Islam dalam kehidupan.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada pensyarah IBS yang merupakan pakar dalam bidang kewangan Islam serta 15 pelajar Sarjana Kewangan Islam dan Perbankan (MIFB) bagi kursus Contemporary in Islamic Banking.

Selain SMK Kubang Rotan, bengkel itu turut diadakan di SMK Jerai dan SMK Tunku Abdul Malik.

 

IBS Kibarkan Jalur Gemilang Bersama Warga UUM

 

kibar jalur

UUM ONLINE: Bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan warga universiti, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengedar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-62, baru-baru ini.

Timbalan Dekan IBS, Dr. Zairy Zainol berkata, agihan bendera itu adalah bagi memupuk semangat warga UUM untuk lebih cintakan negara dengan bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Menurutnya, mereka telah mengagihkan bendera tersebut di pintu masuk UUM ketika kenderaan keluar dan masuk ke kampus.

Selain itu, katanya, IBS juga menganjurkan program Kayuhan Merdeka Jelajah UUM yang bermula di Anjung Tamu dan mengelilingi kampus antaranya Restoran Tasik dan Taman Rusa.

“Program seperti ini khususnya kayuhan basikal akan diteruskan bukan sahaja ketika sambutan Hari Kemerdekaan kerana aktiviti seperti ini memberi peluang kepada staf untuk beriadah dan menghilangkan tekanan kerja seharian di pejabat,” katanya.

Aktiviti Mendaki Bukit Raya

xtvt bga raya

Tanggal 7 Mac 2019, Jawatankuasa Kebajikan, Sukan & Rekreasi IBS telah berjaya menganjurkan aktiviti santai bersama warga IBS mendaki Bukit Bunga Raya MARDI Sintok. Aktiviti yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md Hussain, Dekan IBS diserta hampir 20 orang warga IBS terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran. Program bermula pada jam 8.00 pagi dan selesai dalam jam 10.00 pagi.

Menurut dekan aktiviti sebegini perlu diteruskan dari masa ke semasa bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga IBS disamping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga kerja bawahan dan majikan.