Wed03202019

Last updateWed, 06 Mar 2019 5pm

Back You are here: Home News & Events ISRA-IBS CORNER sedia bahan bacaan berkaitan Kewangan Islam terbitan ISRA

News & Events

ISRA-IBS CORNER sedia bahan bacaan berkaitan Kewangan Islam terbitan ISRA

isra corner

UUM ONLINE: Satu sudut dinamakan ISRA-IBS Corner yang menyediakan bahan bacaan mengenai kewangan Islam terbitan International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) telah dilancarkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali mewakili Naib Canselor bersama Pengarah Eksekutif ISRA, Prof. Dr. Akram Laldin di Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
 
Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md. Hussain berkata ISRA-IBS Corner adalah sudut bacaan pertama diwujudkan di universiti awam dan universiti di Malaysia.
 
"Melalui sudut ini, ISRA akan membekalkan buku-buku mengenai kewangan Islam terbitan mereka untuk ditempatkan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa UUM.
 
"Pelancaran sudut ini juga adalah salah satu aktiviti hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara UUM dan ISRA pada 2018.
 
"Justeru saya berharap hubungan antara UUM dan ISRA berterusan pada masa akan datang dan banyak lagi aktiviti kerjasama antara kedua-dua pihak dapat dijalankan demi kebaikan seluruh warga UUM," katanya.
 
Sementara itu Pengarah Eksekutif ISRA, Prof. Dr. Akram Laldin berkata salah satu objektif ISRA adalah merapatkan jurang antara pengamal industri dan ahli akademik.
 
"Teori-teori yang dipelajari dalam kelas tidak semuanya ideal untuk digunakan di dalam industri. Itu merupakan salah satu sebab ISRA ditubuhkan, bagi merapatkan jurang antara industri dan ahli akademik.
 
"ISRA yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 26 Mac 2008 adalah institusi penyelidikan kewangan Islam yang memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan Syariah dengan matlamat menjadi pusat penyelidikan utama.
 
"Selain melakukan penyelidikan kami juga menerbitkan bahan-bahan berkaitan kewangan Islam, dan menerusi ISRA-IBS Corner ini warga UUM boleh mengakses semua bahan-bahan terbitan ISRA. 
 
"Di samping itu, warga UUM juga boleh mengkases portal I-FIKR - Islamic Finance Knowledge Repository iaitu koleksi pangkalan data penting yang direka untuk memenuhi keperluan pemain industri, sarjana Shari'ah, pengawal selia, pembuat dasar, ahli akademik, penyelidik dan pemegang kepentingan kewangan Islam untuk menampung keperluan penyelidikan dan pembangunan kewangan Islam," ujar beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran ISRA-IBS Corner.
 
Hadir sama menyaksikan pelancaran ISRA-IBS Corner ialah Ketua Pustakawan, Salleh Hudin Mustaffa.
 
Usai majlis pelancaran, Prof. Dr. Akram turut menyampaikan syarahan akademik bertajuk Fintech and Social Finance di Auditorium Perpustakaan Sultanah Bahiyah.