All News

Anjur Majlis Bacaan Yasin bagi Meraikan Penjawat dan Mengenang Jasa Warga IBS

bacaan yasinn

IBS Online: 3 Feb 2020 (Isnin), Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi, IBS telah mengadakan Majlis bacaan Yasin bagi meraikan warga IBS iaitu penjawat-penjawat tahun 2019, penjawat tahun 2020, staf yang terlibat dengan pertukaran serta staf yang akan bersara. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Mohd Noor Habibi Long diikuti ucapan daripada dekan IBS, Prof. Madya Dr. Mohamad Nasri Md. Hussain.

Dekan IBS dalam ucapannya menekankan agar para penjawat terus menjalankan tugasan-tugasan yang diamanahkan dengan penuh dedikasi demi kecemerlangan IBS dan kebaikan para pelajar. Di samping itu, beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat yang telah diberikan oleh Prof. Madya Dr. Rosemaliza Abd Rashid (akan bersara) dan Pn. Siti Zauwiyah Sudin (bertukar ke CEDI) selama bersama dengan IBS khususnya. Dekan juga berkongsi doa untuk diamalkan bagi menghindari diri dari penyakit berjangkit khususnya "coronavirus" yang sedang melanda dan beliau berpesan agar semua warga IBS mengambil perhatian dan cakna dengan fenomena yang berlaku.

Majlis ini turut memberi peluang kepada Pn Siti Zauwiyah dan Prof. Madya Dr Rosemaliza memberikan ucapan dan pesanan terakhir mereka kepada warga IBS. Keadaan menjadi sedikit sepi dan sayu seketika ketika menghayati ucapan mereka kerana semua maklum bahawa kedua-dua mereka telah bersama dengan IBS seawal penubuhan IBS pada Julai 2011. Sesungguhnya terlalu banyak kenangan pahit manis yang dialalui dan jasa yang telah ditaburkan sehingga IBS kini berada di tahun ke-9 penubuhannya dengan pelbagai kejayaan yang dicapai. Warga IBS benar-benar merasai akan kehilangan mereka berdua, namun seperti mana nasihat ‘Ummi’ iaitu Dr. Rose yang juga mesra dipanggil ‘Kak Rose’: “.. apa yang penting adalah laksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan bersungguh-sungguh, buat sehabis baik yang kita mampu dan ikhlas..’ In shaa Allah, kata-kata nasihat beliau akan tersemat kukuh disanubari dan terus menjadi amalan warga IBS.

Majlis turut meraikan kedatangan warga IBS baharu iaitu Puan Junaidah Ismail yang menggantikan Puan Siti Zauwiyah. Selain itu, majlis meraikan Dr. Mohd Adib Abd Muin yang telah menimang cahaya mata kedua dengan dikurniakan seorang putera pula kali ini. Menurut Pengerusi Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi 2020, Prof Madya Dr. Selamah Maamor, majlis seumpama ini akan dilaksanakan secara berkala demi untuk meraikan warga IBS dan mengeratkan lagi sillaturrahim di kalangan warga IBS. Beliau juga sempat mempromosikan beberapa aktiviti yang telah dirancang oleh Kelab Kebajikan IBS seperti pertandingan persahabatan badminton, klinik golf dan kuliah-kuliah agama. Beliau amat berharap warga IBS akan sama-sama turut serta dalam program-program yang akan dianjurkan oleh kelab kebajikan IBS untuk warga IBS.

HABIS