All News

UUM Prihatin: IBS Lancar Kempen Dapur Berasap Bantu Asnaf

dapur berasap

UUM ONLINE: Bantuan demi bantuan terus dihulurkan oleh warga UUM yang prihatin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Kini, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) pula melancarkan Kempen Dapur Berasap dalam tempoh PKP ini dengan menyantuni golongan asnaf di sekitar Changlun. Pengerusi Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, wabak Covid-19 yang bermula di Wuhan, China sudah menjadi pandemik dan memberi kejutan di seluruh dunia sehingga negara terpaksa melaksanakan PKP bagi memutuskan rangkaian virus yang telah meragut ribuan nyawa.

Menurutnya, menyedari situasi yang sukar dijangka ini, Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi IBS mengambil inisiatif membuat kutipan derma dalam kalangan warga IBS sejak 29 Mac lalu.Katanya, program itu adalah cetusan idea ahli kelab yang tinggal di Changlun apabila mereka mendapat maklumat terdapat penduduk kampung serta asnaf memerlukan bantuan bekalan makanan.“Prihatin dengan nasib mereka yang terputus bekalan makanan ini, kami memberi peluang kepada ahli kelab untuk turut sama membantu dengan menyalurkan sumbangan kewangan.

“Hasil kutipan itu digunakan untuk membeli barangan keperluan termasuk makanan kepada penduduk kampung dan asnaf memerlukan,” katanya.Prof. Madya Dr. Selamah berkata, kempen yang berakhir 2 April lalu berjaya mengumpul sebanyak RM2,020 dan hasil sumbangan ini digunakan untuk menyediakan kit barangan dapur seperti beras, telur, gula dan tepung gandum kepada 30 keluarga yang telah dikenal pasti.

Selain itu, menurutnya, sumbangan wang tunai juga diagihkan kepada beberapa staf pentadbiran dan staf pembersihan UPSB. Sementara itu, penerima sumbangan yang dikenali sebagai Syikin berkata, dia bersyukur dan gembira di atas keprihatinan warga UUM terhadap nasib mereka. Menurutnya, sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya untuk membeli barang keperluan.

HABIS.