All News

Sembang Santai : Senario Industri Halal Masa Kini

senario halallatest

 

IBS ONLINE :  Program sembang santai: Senario Industri Halal Masa Kini telah dianjurkan pada hari Rabu (22 Julai 2020) pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang waktu Malaysia. Program ini julung-julung kali dianjurkan oleh Kelab Pentadbiran Muamalat dengan kerjasama pihak Institusi Penyelidikan Inovasi Zakat UUM secara maya bagi memberi perkongsian ilmu serta pendedahan yang lebih mendalam kepada mahasiswa dan mahasiswi UUM berkaitan industri halal di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penceramah jemputan bagi program sembang santai ini adalah Encik Ahmad Farhan Bin Sulaiman yang merupakan seorang Pengarah Halal di LSG Group bertempat di NeuIsenburg Jerman. Pada hari program dijalankan, Encik Farhan berada di Jerman atas tuntutan pekerjaan. Justeru, pelaksanaan program tersebut diadakan secara maya menerusi platform atas talian iaitu Webex dan disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Facebook live yang dikelolai oleh pihak Pusat Pengajian Perniagaan Islam UUM.

Seorang moderator program telah dilantik dari kalangan pelajar sendiri iaitu saudara Mohd Syiddiq Bin bagi mengelolai program sembang santai tersebut. Seramai 91 mahasiswa dan 6 orang pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam yang telah turut serta dalam program sembang santai tersebut. Aturcara program sembang santai tersebut berjalan dengan lancar bermula dengan pembukaan majlis dengan bacaan Al-Fatihah serta ucapan aluan dari moderator program dan diteruskan dengan ucapan aluan dari pihak penceramah. Secara ringkasnya, Encik Farhan merupakan seorang Pengarah Halal di salah satu syarikat terbesar di Neu-IsenBurg Jerman yang dikenali dengan nama LSG Group. Beliau mula berkhidmat sebagai Pengarah Halal di syarikat berkenaan pada tahun 2017 hingga kini. Beliau akan mengetuai serta mengendalikan strategi, standard, amalan terbaik serta inovasi. Beliau juga berkhidmat dalam menyediakan rekomendasi berkaitan halal kepada pengurusan lembaga kanan mengenai tadbir urus serta pengurusan operasi global syarikat berkenaan.

Program sembang santai ini diteruskan dengan beberapa isu berkaitan industri halal yang sering timbul dalam minda mahasiswa serta mahasiswi UUM. Antaranya ialah berkaitan bagaimanakah realiti operasi industri Halal di Malaysia dan antarabangsa yang perlu diketahui umum. Seterusnya pada slot yang kedua, perkongsian diteruskan dengan persoalan dari pihak moderator mengenai apakah peranan negara Malaysia yang dikenali sebagai peneraju Hab Halal dunia dalam memastikan industri Halal ini terus maju dan diterima seluruh dunia. Selain itu juga, Encik Farhan turut berkongsi mengenai perkara yang perlu dilakukan dalam memastikan segala pengamalan dalam memilih produk Halal dan menggunakan sijil Halal secara telus. Pada slot perkongsian yang terakhir, prospek kerjaya dalam industri Halal dibincangkan secara meluas merangkumi peluang kerjaya yang ada bagi mahasiswa yang mempunyai sijil Eksekutif Halal.

Seterusnya kepentingan serta kelebihan yang ada pada sijil Eksekutif Halal dalam industri Halal serta tatacara bagi graduan yang ingin bekerja dalam sektor industri Halal di dalam dan luar negara. Walaupun mempunyai limitasi waktu, banyak ilmu dan manfaat yang telah dikongsikan oleh Encik Farhan yang membuka mata dan minda mahasiwa serta pensyarah mengenai prospek dan realiti insudtri Halal di Malaysia. Program sembang santai diteruskan dengan sesi soal jawab dari pihak peserta yang berkisar mengenai peluang pekerjaan serta keperluan persediaan yang diperlukan oleh mahasiswa bagi merebut peluang pekerjaan dalam industri Halal. Tidak ketinggalan juga persoalan yang menyentuh mengenai relasi pengurusan industri Halal dengan isu semasa pandemic Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Program sembang santai ini diakhiri dengan sedikit saranan serta nasihat daripada Encik Farhan, sesi fotografi norma baharu dan bacaan tasbih kifarah dan surah Al-Asr. Program sembang santai ini berakhir pada jam 4.30 petang waktu Malaysia. Secara keseluruhannya, program sembang santai ini telah berlangsung dengan lancar dan baik. Kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua pihak penganjur adalah baik sehingga mampu memberikan hasil informasi dan perkongsian yang memuaskan pihak peserta. Kerjasama serta kesudian pihak penceramah iaitu Encik Farhan sangat membantu terutama dalam memastikan kefahaman serta kerungsingan mahasiswa dalam ruang lingkup halal ini dapat diselesaikan. Akhir sekali, maklum balas yang diterima daripada pihak peserta adalah sangat memuaskan dan mendapat rekomendasi agar program seperti ini dapat diperbanyakkan lagi pada masa akan datang.

HABIS.