All News

IFP Challenge Status Martabatkan Pengurusan Kewangan Islam

ifp 92020

UUM ONLINE: Kuala Lumpur – Bagi membantu meningkatkan kefahaman peserta menerusi aplikasi Shariah dalam pengurusan kewangan dan harta Islam, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menganjurkan Islamic Financial Planner (IFP) Challenge Status Siri 9 di UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), baru-baru ini.

Penggunaan aplikasi tersebut turut merangkumi takaful, pelaburan Islam, zakat dan percukaian, hibah, wasiat dan faraid.

Penyelaras program Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam – Islamic Financial Planner (BIFB-IFP), Dr. Alias Mat Nor berkata, IFP adalah program kelayakan profesional yang direka khusus untuk profesional dan eksekutif yang berkhidmat dalam segmen runcit pasaran kewangan Islam.

Menurutnya, IFP merupakan prasyarat untuk Lesen Agen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lesen Agen Penasihat Kewangan (FAR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi melaksanakan aktiviti yang dikawal selia oleh perancangan kewangan.

Katanya, program tersebut merupakan kerjasama antara IBFIM dan Perancangan Kewangan Persatuan Malaysia (FPAM), dan menerima Akreditasi Penuh dari Agensi Akreditasi Kewangan (FAA).

“Saya berhasrat untuk melahirkan lebih ramai lulusan IFP bagi memartabatkan lagi pengurusan kewangan Islam. Dengan adanya program ini mereka dapat mengembangkan lagi ilmu mengenai pengurusan kewangan Islam kepada masyarakat luar yang selama ini lebih terdedah kepada sistem konvensional.

“Program ini dikendalikan oleh pensyarah IBS serta pensyarah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang masing-masing,” katanya.

Pusat Pengajian Perniagaan Islam telah dilantik oleh IBFIM sejak 2016 sebagai penyedia latihan (training provider) Sijil Profesional Perancangan Kewangan Islam bagi menawarkan kursus ini kepada staf UUM dan orang luar.

Program ini adalah rentetan daripada Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai antara UUM dan IBFIM yang mana UUM dilantik sebagai Penyedia Perkhidmatan IFP dan Certified Qualification in Islamic Finance (CQIF) kepada pelajar IBS dan pemain industri dalam kewangan dan takaful.

Seramai 35 peserta telah menghadiri program tersebut terdiri daripada pemain industri, antaranya agen takaful (AIA, Prudential BSN, FWD Takaful dan Great Estern) dan Penasihat Kewangan seperti Capspring Temasik, Genexus, Principal Assets Management, Phillip Mutual, Amalco Diyaman Management, Muqmeen Group dan Public Mutual.

Dr. Alias berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya dari kalangan mereka yang sudah lama bertapak tetapi tidak memiliki sijil IFP yang datang dari sektor insuran, takaful, unit amanah, firma pengurusan kekayaan dan ahli akademik.

Antara topik yang dibincangkan dalam bengkel selama empat hari itu adalah Syariah dan Asas Perancangan Kewangan Islam, Pelaburan Islam, Pengurusan Risiko dan Takaful, Perancangan Harta Islam dan Wakaf, Perancangan Zakat dan Percukaian dan Perancangan Kewangan Islam.

Bagi memenuhi syarat untuk diiktiraf sebagai pemegang sijil IFP yang dikeluarkan oleh IBFIM, peserta turut menduduki peperiksan selama dua hari yang dikendalikan sepenuhnya oleh IBFIM bagi melayakkan mereka memperoleh lesen Financial Planning Association of Malaysia (FPAM).