All News

Kursus Halal Lahir Usahawan Celik Halalan Toyyiban

halal sijl

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) buat julung kalinya telah menganjurkan Kursus Profesional Sijil Latihan Eksekutif Halal selama dua minggu, baru-baru ini. Kursus tersebut merupakan latihan profesional di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menerima pengiktirafan oleh Sekretariat Majlis Halal Malaysia.

Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md Hussain berkata, IBS telah dilantik oleh JAKIM sejak 2018 sebagai penyedia latihan (training provider) Kursus Profesional Sijil Latihan Eksekutif Halal bagi melahirkan lebih ramai celik halalan toyyiban dan peneraju eksekutif halal dalam pelbagai segmen industri di Malaysia.

Menurutnya, Sijil Latihan Eksekutif Halal adalah program yang direka khusus untuk membimbing dan menyediakan khidmat nasihat profesional dalam usaha sesebuah perniagaan dan premis memohon dan mengekalkan status halal bagi produk-produk yang dihasilkan.

“Kursus latihan ini merupakan prasyarat yang telah ditetapkan pihak JAKIM dalam menyemai ilmu-ilmu berkaitan pengurusan halal meliputi penubuhan majlis halal dalaman, prinsip-prinsip halal dan sistem jaminan halal.

“Program ini juga mendapat kerjasama dan sokongan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JAIK),” katanya.

Sementara itu, urusetia program, Dr. Nor Aina Mhd. Khotib berkata, sebagai permulaan, seramai 23 peserta telah menghadiri program itu terdiri pemain industri, antaranya, Jimat Jaya Sdn. Bhd. dan Honey Food Industries Sdn. Bhd., pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta ahli akademik dari pelbagai bidang.

Menurutnya, untuk layak dianugerahkan sijil, peserta kursus diwajibkan menghadiri latihan lengkap 70 jam kredit sebelum boleh menduduki peperiksaan khusus yang disediakan oleh JAKIM.

Katanya, latihan yang dijalankan meliputi lima modul antaranya, manual halal dan pengurusan rekod, pengurusan majlis penasihat halal dalaman, sistem jaminan kualiti halal, pengurusan proses permohonan sijil halal dan audit dalaman halal.

“Lebih menarik lagi, peserta telah didedahkan dengan proses audit halal di lapangan bertempat di premis makanan terpilih dalam UUM.

“Pelbagai aktiviti berkumpulan dilaksanakan sepanjang program berlangsung yang menguatkan lagi kefahaman peserta terhadap keseluruhan proses halal dalam sesebuah organisasi,” katanya yang komited untuk meneruskan siri-siri latihan akan datang dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai profesional halal bagi memartabatkan status halal untuk penggunaan pelbagai industri dan menjadikan UUM sebagai penyedia unggul latihan ini selari dengan hasrat kerajaan mewartakan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.

Tambahnya, program yang dikendalikan oleh pelatih profesional berkaitan Syariah bukan sahaja mempunyai kepakaran luas secara teori dalam bidang masing-masing, malah mampu mendemonstrasikan ilmu-ilmu yang telah dipelajari secara praktikal.

“Kesedaran mempelajari ilmu halalan toyyiban ini amatlah bernilai kepada masyarakat di luar sana dalam usaha memperbanyakkan lagi produk-produk berstatus halal sesuai dengan ajaran agama Islam yang mementingkan kebersihan, kesihatan dan menjauhi kemudharatan.

“Amatlah penting bagi umat Islam khususnya di Malaysia meyakini status halal yang dipantau pihak JAKIM seterusnya menyokong segala usaha yang telah dilakukan secara sistematik bagi memastikan halal ini jelas pada pandangan orang ramai,” katanya.