All News

Program Pembangunan Ekonomi Bantu Masyarakat Luar Bandar

ipiz

UUM ONLINE: Baling - Institut Penyelidikan Dan Inovasi Zakat (IPIZ) telah menganjurkan Program Komuniti Pembangunan Ekonomi Masyarakat Luar Bandar bertempat di Kampung Weng, baru-baru ini.

Pengarah IPIZ, Dr. Mohd Sollehudin Shuib berkata, program dengan kerjasama beberapa agensi luar seperti RHB Bank dan Lembaga Pertanian Nanas Malaysia itu menumpukan sepenuhnya kepada masyarakat dari golongan B40 dan miskin.

“Berdasarkan kepada bancian yang telah dibuat di sekitar kawasan Negeri Kedah, daerah Baling mencatatkan jumlah penduduk berstatus B40 yang paling tinggi berbanding daerah lain.

“Justeru, IPIZ telah mengemukakan satu inisiatif baru yang dapat membantu masyarakat luar bandar yang berstatus B40 secara khususnya dalam aspek kelangsungan hidup,” katanya.

Dr. Mohd Sallehudin berkata, program tersebut secara tidak langsung telah memberikan gambaran yang jelas kepada penduduk kampung terhadap peluang yang boleh diceburi dalam bidang Keusahawanan Asas Tani.

Selain itu katanya, kesedaran untuk membayar zakat dari kalangan peserta juga dapat diterapkan dan menjadi pemangkin kepada mereka untuk keluar daripada paras kemiskinan.

Pada majlis sama, Timbalan Rektor Penyelidikan Dan Jaringan Industri Universiti Teknologi MARA, Prof. Madya. Ts. Dr. Azhari Md Hashim menerangkan penjanaan ekonomi menerusi keusahawanan pertanian.

“Betapa pentingnya kepada kita untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi yang berasakan pertanian, di samping kepekaan terhadap pengurusan aktiviti juga perlu dititikberatkan agar segala proses yang dijalankan berjalan seiring dengan perancangan semasa,” katanya.

Manakala Pensyarah Universiti Teknologi MARA, Azim Izzuddin Muhamad berkongsi tentang kaedah penanaman nanas dan cara penjagaannya.

Peserta yang hadir turut diberikan latihan tatacara menanam nanas MD2/Morris yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Azim Izzuddin berkata, Lembaga Nanas Malaysia memberi peluang latihan secara percuma kepada peserta yang berminat untuk menjalankan projek tanaman nanas secara berskala besar dan turut diberikan tunas pokok secara percuma sebagai langkah permulaan.

Sebanyak 500 tunas pokok nanas diserahkan kepada pihak Masjid Kampung Weng sebagai wakil kepada peserta yang terpilih.