All News

Terima Laptop Percuma Mudahkan Pelajar Ikuti Kelas

 

laptop

UUM ONLINE: Penularan pandemik Covid-19 memberi tamparan hebat sehingga memaksa kita hidup dalam norma baharu, sekali gus melangkah lebih pantas ke arah dunia maya dan digital.

Ekoran daripada itu, segala urusan dijalankan secara atas talian termasuk di UUM seperti pendaftaran pelajar, Minggu Suai Kenal (MSK), Pilihan raya Kampus (PRK) dan kelas semuanya diadakan secara online, namun fenomena ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar yang tidak mampu untuk membeli komputer riba (laptop).

Menyedari masalah yang dihadapi pelajar, Jawatankuasa Pembangunan Pelajar IBS dan Institut Penyelidikan Dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM tampil membantu dengan menyumbang komputer riba kepada 10 pelajar asnaf pada Program Komuniti Bantuan Laptop Kepada Pelajar Asnaf Dan B40 Terpilih, baru-baru ini.

Kejutan buat Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Muhammad Khairulnajmi Zakaria apabila menerima panggilan telefon dan dimaklumkan akan menerima laptop secara percuma.

?Pemberian yang sangat bermakna ibarat satu mimpi dan perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata setelah menerima laptop berkualiti tinggi daripada IBS dan IPIZ.

?Saya terkejut pada mulanya dan pada masa sama bersyukur kerana pihak universiti sangat prihatin dengan kebajikan pelajar khususnya yang tiada memiliki laptop sendiri untuk mengikuti kelas online,? katanya.

Khairulnajmi berkata, sebelum ini dia terpaksa meminjam laptop jiran yang dalam keadaan ?uzur? sehingga menyukarkannya untuk fokus belajar.

Menurutnya, kini dia bersyukur kerana tidak perlu lagi meminjam komputer riba orang lain, malah banyak tugasan diberikan dapat diselesaikan dengan cepat termasuk berhubung dengan pensyarah.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Kewangan Dan Perbankan Islam, Ahmad Al Izzuddin Alsabri berkata, dia juga tidak menduga terpilih untuk menerima laptop yang diidamkan selama ini.

?Saya sungguh terkejut dan tidak sangka saya salah seorang insan bertuah kerana ditawarkan menerima bantuan yang telah meringankan beban dan tekanan yang dialami selama beberapa bulan kebelakangan ini ekoran pandemik Covid-19, sekali gus membangkitkan semangat untuk belajar dengan lebih tekun.

?Saya memerlukan laptop untuk memudahkan menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan dapat menimba ilmu tanpa perlu bimbang mengenai tugasan yang perlu diserahkan berbanding sebelum ini hanya menggunakan telefon pintar,? katanya.

Ahmad Al Izzudin berkata, mengikuti kelas secara online sangat mencabar termasuk berdepan masalah liputan internet memandangkan dia tinggal di kawasan luar bandar.

Manakala bagi pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Fatin Iman Mohd Nizam berasa sebak apabila menerima bungkusan mengandungi komputer riba pemberian IBS dan IPIZ.

Menurutnya, hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu dan dia kini tidak perlu lagi menunggu giliran menggunakan laptop sepupunya untuk menyiapkan tugasan dan menghadiri kelas online.

Katanya, dia berharap UUM dapat meneruskan usaha murni ini dalam usaha membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk meraih kejayaan serta mengubah masa depan yang lebih cemerlang.