All News

Majlis Anugerah Dekan IBS Sesi A191 & A192 Secara atas Talian

dekan2020

IBS ONLINE: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menganjurkan Majlis Anugerah Dekan bagi kedua-dua sesi A191 dan A192 yang sebelum ini ditangguhkan kerana pandemic COVID-19. Majlis ini telah diadakan secara atas talian secara langsung melalui platform Facebook Rasmi Islamic Business School. Walaupun ianya pertama kali diadakan secara atas talian, namun dengan bantuan Kelab Pelajar iaitu Islamic Finance & Banking Association (IFBA) dan Muamalat Administration Club (MuADS), majlis ini berlangsung dengan jayanya pada 19 Januari 2021 (Selasa) lalu. Seramai 78 orang pelajar dari kedua-dua program Sarjana Muda Kewangan & Perbankan Islam (BIFB) dan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (BMA) menerima Anugerah Dekan untuk kedua-dua sesi iaitu A191 & A192. Manakala keseluruhan penerima bagi kedua-dua sesi A191 dan A192 ialah 255 bagi program BIFB dan 185 orang pelajar bagi program BMA.
Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md Hussain merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima dan menasihatkan semua penerima untuk terus mengekalkan pencapaian cemerlang ini walaupun berdepan kekangan norma baharu, di samping mengimbangi dengan akhlak dan sahsiah yang baik. Wakil pelajar bagi program Sarjana Muda Kewangan & Perbankan Islam (BIFB) iaitu Uwais Shaari yang turut berucap, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pensyarah serta rakan seperjuangan yang menjadi faktor utama kejayaan yang dikecapinya dan semua penerima Anugerah Dekan kali ini. Manakala Siti Norsamsiah Binti Mat Tahar yang berucap mewakili pelajar program Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (BMA) pula berkata semua penerima adalah insan yang hebat kerana berjaya mengharungi pembelajaran norma baharu secara atas talian walaupun terpaksa membahagikan antara tugasan sebagai pelajar dan anak di rumah. Penghargaan juga kepada ibu-bapa yang memahami dan memberi sokongan sepanjang pembelajaran berlangsung di rumah. Majlis Anugerah Dekan sebelum ini diadakan secara bersemuka pada setiap semester, namun kali ini diadakan secara atas talian bagi menghargai kejayaan dan penat lelah pelajar yang mengharungi pembelajaran secara norma baharu yang mencabar. Warga IBS amat berbangga dengan pencapaian Penerima Anugerah Dekan bagi Semester A191 & A192 dan semoga pencapaian ini terus dikekalkan sehingga bergraduasi kelak.

Sekian.