All News

IBS Manfaatkan Bimbingan Profesor Berpengalaman Jana Proposal Berkualiti

BIMBINGAN PROF

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menganjurkan Bengkel Penjanaan dan Pemantapan Proposal Penyelidikan Peringkat IBS selama dua hari menerusi Webex, baru-baru ini.

Bengkel anjuran Jawatankuasa Penyelidikan, Institute of Syariah Governance and Islamic Finance (ISGaIF), IBS itu mendapat bimbingan secara langsung daripada Profesor berpengalaman iaitu Profesor Dr. Zakaria Abbas, Prof. Dr. Abdullah Abdul Ghani, Prof. Dr. Nor Hayati Ahmad dan Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof, Pengarah Institute of Urban Studies, UUM Kampus Kuala Lumpur.

Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Muhamad Nasri Hussain berkata, bengkel ini dipecahkan kepada empat (4) kumpulan kecil terdiri lapan peserta yang mana setiap pasukan diselia oleh seorang Profesor berpengalaman.

Menurutnya, sepanjang bengkel, peserta berkongsi idea dan deraf penyelidikan masing-masing untuk penilaian dan komen secara terus oleh Profesor terlibat bagi memudahkan setiap peserta menambah baik kertas kerja penyelidikan masing-masing sebelum dibentangkan di akhir bengkel. Katanya, dalam bengkel itu juga ditekankan tentang konsep 3R iaitu ‘Relevant, Referred, Respect’ serta ikhlas dalam menjalankan amanah penyelidikan.

“Turut dikupas adalah bidang-bidang tujahan penyelidikan yang perlu diteroka warga IBS dan memastikan ianya selari dengan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan utama penyelidikan.
“Selain itu, bagi menyemarakkan lagi semangat warga IBS untuk membudayakan penyelidikan berkualiti, satu sesi forum khas membicarakan hala tuju aktiviti penyelidikan IBS turut diadakan,” katanya yang mengingatkan warga IBS untuk melipatgandakan usaha dalam aktiviti penyelidikan dan penerbitan bagi menjadikan IBS kelak sebagai rujukan dalam bidang pengurusan, perniagaan, kewangan dan ekonomi Islam.

Beliau juga berpesan kepada semua peserta agar mengambil peluang yang ada untuk terus ‘berguru’ dan memanfaatkan bimbingan daripada Profesor berpengalaman tersebut.
IBS yang bakal menyambut tahun ke-10 penubuhannya pada Julai depan diharapkan dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pusat pengajian lain.

Sekian.