All News

Program 5 Bahasa Cinta Kenali Diri, Pasangan dan Sekeliling

 

5bhs cinta

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) melalui Jawatankuasa Kebajikan, Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan Program 5 Bahasa Cinta dalam Slot Tarbiyyah Ilmu Bersiri IBS melalui Webex dan Facebook Live, baru-baru ini.

 

Penceramah khas iaitu Pegawai Penyelidik di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah, Azlina Azizan telah berkongsi tentang 5 bahasa cinta yang mana berjaya menarik tontong lebih 500 orang bersama moderator, Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani.

 

Sebanyak 5 bahasa cinta yang dikupas dalam siri tersebut iaitu 1. Kata-kata (Word of Affirmation); 2. Perbuatan (Act of Service); 3. Pemberian (Receiving Gift); 4. Sentuhan Fizikal (Physical Touch); 5. Masa Bersama (Quality time). Azlina berkata, kita perlu mengenali terlebih dahulu bahasa cinta diri kita sendiri sebelum mengenali pula bahasa cinta pasangan atau orang sekeliling sama ada anak-anak, ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan mahupun rakan sejawatan. “Dalam erti kata lain, kita perlu memahami dan tahu apa kehendak kita, kita mahu disayangi dan dicintai dengan cara yang bagaimana. Adakah kita jenis yang suka diberikan hadiah maka kita rasa dihargai, disayangi dan dicintai. Atau kita jenis yang suka menolong orang sebagai tanda kita sayangkan sahabat kita.

 

“Umumnya, seseorang itu akan menggunakan bahasa cintanya yang sama kepada orang lain. Maksudnya, jika dia suka dihargai dengan kata-kata, maka dia juga akan sering meluahkan atau menghargai orang lain dengan kata-kata. Namun, apa yang menjadi cabarannya di sini ialah apabila bahasa cinta kita dengan pasangan kita berbeza dan tidak disedari oleh pasangan.

 

“Justeru, inilah yang selalunya mengundang kepada salah faham dan lebih buruk lagi apabila ianya membawa kepada perceraian,” katanya. Beliau turut berkongsi beberapa kes yang beliau kendalikan dan sedikit sebanyak membantu penonton memahami pentingnya memahami 5 bahasa cinta diri sendiri dan pasangan atau orang sekeliling.

 

Rata-rata peserta yang mengikuti program ini sangat terkesan dengan ilmu 5 bahasa cinta yang dikongsikan dan merasakan program ini telah menjentik hati mereka tentang perasaan kasih, sayang dan cinta yang merupakan keperluan semula jadi setiap ummat manusia.

 

Jawatakuasa Kebajikan, Sukan dan Rekreasi IBS, Mohd Saharudin Shakrani berharap program seumpama itu dapat diteruskan untuk manfaat semua warga IBS khususnya dan seluruh masyarakat termasuk pelajar. Menurutnya, pelbagai lagi perkongsian ilmu santai namun sangat penting seperti ini akan dilaksanakan dalam Slot Tarbiyyah Ilmu Bersiri yang akan datang. Katanya, kejayaan program bersiri Ini menunjukkan betapa semua kita ingin mencari kebahagiaan dan semoga semua ketemu akan ‘cinta’ yang dicari dan beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

Benarlah kata pepatah Melayu – Tak Kenal Maka Tak Cinta. Maka, marilah sama-sama mengenali terlebih dahulu Bahasa Cinta Kita.

 

TAMAT