All News

Pensyarah Dalami Ilmu Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan

kawalan mutu mknan

UUM ONLINE: Latihan khas selama lima hari memberi pendedahan kepada pensyarah dengan perkembangan dalam industri halal khususnya industri pemprosesan dan kawalan mutu makanan.

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Bermodul Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan (SPK) anjuran Jabatan Pentadbiran Muamalat dan Pengurusan Halal, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) berlangsung di Kolej Komuniti Arau, Perlis.

Peserta, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia dalam proses untuk menawarkan program baharu, Sarjana Muda Pengurusan Halal dengan Kepujian.

“Usaha ini sebagai persediaan kepada para pensyarah dari Jabatan Muamalat dan Pengurusan Halal untuk memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran berkaitan halal termasuk kawalan mutu makanan dan industri pemprosesan makanan,” ujarnya.

Bengkel ini dihadiri pensyarah IBS yang akan mengajar subjek Pengurusan Halal di IBS Prof. Madya Dr Mohd Shahril Ahmad Razimi, Dr Mohd Sollehudin Shuib, Prof. Madya Dr Muhamad Noor Habibi Hj Long, Dr Mahfujur Ab Rahman, Muhamad Fikri Aziz, Dr Syarifah Md Yusof dan Mohamad I'rfan Shahruddin.

“Halalan toyyiban bukan bukan sahaja tentang DNA babi  atau sumber tidak halal malah skopnya lebih luas termasuk aspek kebersihan, kualiti, sains dan prosedur agar selari dengan sijil halal yang dikeluarkan JAKIM.  

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pensyarah IBS dalam bidang pemprosesan makanan khususnya bagi pensyarah yang akan mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). 

Tambahnya, program ini dapat meningkatkan keyakinan pensyarah IBS untuk mengendalikan sesi PdP di samping mewujudkan jaringan erat antara IBS dengan Kolej Komuniti Arau.

Sementara itu, Dr. Azizah Othman berkata, para pensyarah diberi pendedahan secara teori dan praktikal tentang aspek kebersihan, kawalan mutu makanan dan perkembangan industri halal sepanjang program ini berlangsung.  

“Jika sebelum ini kami hanya baca buku untuk faham tentang pemprosesan makanan, dengan menyertai kursus ini kami dapat belajar dan lihat sendiri pemprosesan makanan seperti roti, sos, yogurt selain pengawet, bahan yang dibenarkan dan banyak lagi ilmu baharu. 

“Pelbagai modul yang dipelajari sepanjang lima hari seperti Pengenalan Sains Makanan,  Pembungkusan dan Pelabelan Makanan, Kawalan Mutu Makanan serta teknologi makanan.

Menariknya, peserta didedahkan dengan Pemilihan Bahan Pembungkus, Pengenalan Kawalan Mutu & Keselamatan Dan Kebersihan & Sanitasi, Mikrobiologi Makanan, Pelabelan Makanan, Bahan Pembungkus.

“Halal sesuatu makanan bukan sahaja bergantung kepada sumber yang digunakan malah cara membuatnya perlu dilakukan dengan bersih dan suci kerana memberi kesan positif kepada kesihatan badan, rohani dan jiwa.

“Ini kerana Allah SWT yang mencipta kita, Dia menghalalkan sesuatu yang baik untuk manusia dan diharamkan sesuatu kerana memudaratkan manusia,” tambahnya.

Malah katanya, peserta mengetahui terdapat makmal di Jitra untuk mengenalpasti fakta nutrisi dan tarikh luput pada pek makanan di samping memahami dengan jelas tentang keperluan industri dalam bidang halal khususnya dalam aspek kebersihan makanan. 

“Selain memiliki sijil eksekutif halal JAKIM, sijil ini menjadi nilai tambah memandangkan ilmu dan kesedaran penting untuk mengajar teori dan dengan pengalaman itu memudahkan pemahaman para pelajar,” katanya.

TAMAT