All News

Bengkel Penulisan Research Paper Bantu Pelajar UUMKL dari Ketinggalan

 

research uumkl

 

UUM ONLINE: Bagi membantu meningkatkan kefahaman dan keyakinan pelajar menyiapkan kertas penyelidikan di peringkat sarjana, Pasca siswazah IBS dan Institute of Shariah Governance and Islamic Finance (ISGaIF) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Research Paper for Master UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), baru-baru ini.

Penyelaras program Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam (MIFB) dan Sarjana Sains (Pengajian Perniagaan Islam) (MIBS) dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Dr. Alias Mat Nor berkata, penganjuran bengkel itu adalah untuk membantu pelajar menyiapkan kertas penyelidikan yang telah tertangguh selama ini bagi melayakkan mereka untuk bergraduat.

Menurutnya, pihaknya berhasrat untuk membantu dan melihat ramai pelajar MIFB dan MIBS menamatkan pengajian dengan jayanya.

Selaku Felo Penyelidik ISGaIF, Dr. Alias berkata, dia  berharap bengkel itu dapat meningkatkan lagi penyelidikan dan penerbitan dalam kalangan pelajar dan staf IBS.

“Kita dapati ramai pelajar MIFB dan MIBS UUMKL yang tidak aktif dan tertangguh hanya kerana tidak dapat menyiapkan research paper semester akhir yang juga syarat untuk bergraduat.

“Justeru, kita mengambil inisiatif untuk menganjurkan bengkel ini bagi membantu pelajar tersebut untuk menyiapkan research paper masing-masing seterusnya dihantar untuk proses viva,” katanya.

Tambahnya, program itu adalah rentetan daripada perbincangan di antara pihak pengurusan UUMKL dan IBS baru-baru ini dan keputusan telah dicapai untuk menganjurkan bengkel tersebut bagi membantu pelajar terlibat.

Menurutnya, bengkel itu dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah dari IBS yang mempunyai kepakaran luas dalam bidang masing-masing serta seorang pensyarah dari UUMKL.

Di akhir bengkel, peserta menyatakan mereka amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak IBS dan pensyarah terlibat di atas inisiatif untuk membantu serta mengajar mereka dalam menyiapkan research paper ini.

Antara kandungan yang dibincang dalam bengkel selama empat (4) hari itu adalah penulisan akademik, metodologi, analisis data, dapatan dan kesimpulan serta rujukan.

Pensyarah-pensyarah yang terlibat dalam menyampaikan ilmu penulisan kertas penyelidikan itu terdiri Prof. Dr. Nor Hayati Ahmad, Prof. Dr. Abdullah Abdul Ghani, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor dan Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof (UUMKL).

TAMAT