All News

Urusniaga Emas Menurut Perspektif Islam

 

EMAS

 

UUM ONLINE: Emas merupakan anugerah terindah bagi seorang wanita yang menjadi perhiasan idaman sekali gus menyerlahkan seri dan sisi feminim si pemakai.

Selain perhiasan dan matawang, emas adalah salah satu aset dan pelaburan yang paling stabil walaupun dunia berhadapan dengan keadaan tidak menentu akibat pandemik Covid-19.

Namun kata Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Dr. Mohd Solehuddin Shuib, untuk memulakan pelaburan emas, seseorang itu mesti mempunyai ilmu dalam bidang ini agar tidak bertentangan dengan syariah.  

“Dalam Islam, lelaki diharamkan memakai emas tetapi untuk menyimpan emas tiada salahnya, namun cara mendapatkan emas mestilah betul dan kaedah simpanan juga harus betul.

“Pelaburan merupakan salah satu anjuran dalam Islam agar umat aktif dalam sektor ekonomi. Terdapat pelbagai produk pelaburan patuh syariah yang ditawarkan di pasaran seperti pasaran saham, pelaburan dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan dalam unit amanah.

“Selain itu masyarakat juga terlibat dengan pelaburan emas seperti membeli emas fizikal, pelaburan dan jual beli emas secara atas talian namun dari perspektif muamalat Islam, apakah konsep pelaburan emas dan pembelian syer ini sahih transaksinya,” katanya.

Emas merupakan barang ribawi seperti yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah SAW  

Emas boleh ditukar dengan emas, perak ditukar dengan perak, gandum putih ditukar dengan gandum putih, gandum merah ditukar dengan gandum merah, kurma ditukar dengan kurma, dan garam ditukar dengan garam, dengan syarat barangnya sejenis, ukurannya sama, dan langsung dilakukan serah terima. Bila jual beli tersebut berupa barang yang berbeza jenis, lakukanlah sesuai yang kalian kehendaki, jika dilakukan serah terima secara langsung

                                                                                                                                                                                      (HR. Ahmad dan Muslim)

Beliau berkata, syarat jual beli sangat ketat supaya tidak jatuh kepada riba. Jual beli dan pelaburan emas begitu mudah terdedah kepada unsur riba jika penjual dan pembeli sendiri tidak peka terhadap garis panduan Islam.

Menurutnya, barang ribawi di sini bermaksud sekiranya kita berurusniaga emas ada dua syarat yang perlu dipatuhi iaitu serah dan terima dalam satu masa. Apabila seseorang membeli emas, dia mestilah mendapat emas pada waktu yang sama selepas bayaran dibuat. Penjual emas tidak boleh menangguhkan penyerahan emas yang dijual.

“Urusniaga emas mesti berlaku secara ‘on the spot’ (serah menyerah emas berlaku pada waktu sama tanpa penangguhan) manakala pembayaran wajib menggunakan sama ada tunai, kad debit/ kad kredit, cek tempatan dan tidak boleh dibayar secara ansuran atau hutang.

“Kedua, timbangan mestilah sama bagi urusniaga tukaran emas dengan emas bermaksud jika emas ditukar dengan emas mestilah jumlahnya sama seperti 10 gram dengan 10 gram. Sekiranya pertukaran dengan barang ribawi yang berbeza, seperti menukar emas dengan perak, maka boleh beza timbangan/ kadar,” katanya.

Sekiranya berlaku urusniaga tukar emas dengan emas, mestilah sama timbangan seperti menukar rantai emas 55 gram ditukar dengan rantai emas 55 gram juga sepertimana hadis berikut:

Janganlah kalian menjual emas dengan emas kecuali ia sama nilainya dan janganlah kalian melebihkan sebahagian emas atas sebahagian yang lain dan janganlah kalian menjual perak dengan perak kecuali sama nilainya dan janganlah kalian menambah sebahagian perak atas sebahagian yang lain. Dan janganlah menjual sesuatu yang tidak ada dengan sesuatu yang ada.

(HR. Muttafaq ‘Alaih)

Timbul persoalan, takkanlah rantai emas lama dengan rantai emas baru perlu nilai sama? Jawapannya ya, perlu sama timbangan walaupun rantai lama ditukar dengan rantai baharu. Sebab itu kita juga diberi pilihan menjual dahulu rantai lama, ambil wang tunai hasil jualan rantai lama, kemudian buat belian rantai baharu yang kita inginkan.

Para sarjana Islam telah membuat kesimpulan bahawa terdapat barang ribawi dari hadis ini iaitu, emas, perak, gandum, kurma, garam dan sya`ir. Hadis ini juga jelas memberitahu bahawa jika transaksi keenam-enam barang ini berlaku mestilah sama jumlahnya.

Selain itu katanya, bagi pelaburan emas secara online, risikonya agak tinggi dan syarat urusniaga dari perspektif muamalat agak sukar untuk dipatuhi. Contohnya serahan emas bagi urusniaga online perlu mengambil masa.

“Masyarakat perlu faham setiap pelaburan ada masa untung dan ada masa rugi,  muamalat Islam juga menekankan perkara yang sama.

“Tidak semua pelaburan untung sepanjang masa contohnya ketika musim PKP ini, terdapat perniagaan yang tidak dapat berjalan dengan baik. Justeru pulangan juga boleh jadi tidak sama seperti ketika sebelum PKP. Jadi Pelabur perlu bersama-sama pihak yang mereka labur ketika untung mahupun rugi. Itulah yang dimaksudkan dengan keadilan di dalam muamalat Islam,” ujarnya.

TAMAT