All News

‘Kekasih Gelap? Hak Suami Atau Isteri Mengikut Perundangan Islam’ Kongsi Informasi Bermanfaat

 

KEKASIH GELAP

 

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) melalui Jawatankuasa Kebajikan, Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan Program ‘Kekasih Gelap? Hak Suami Atau Isteri Mengikut Perundangan Islam’ dalam Slot Tarbiyyah Ilmu Bersiri IBS menerusi Webex dan Facebook Live, baru-baru ini.

Hakim Syarie di Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Baharuddin Che Nen telah dijemput bagi mengupas pelbagai isu berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, permohonan perkahwinan yang memerlukan perintah mahkamah, permohonan nikah wali hakim, perkahwinan secara poligami dan cara permohonan poligami dan penalti atau denda berhubung dengan pernikahan.

Selain itu, beliau juga berkongsi data permohonan pembubaran perkahwinan negeri Kedah bagi tahun 2018-2020 dan data pendaftaran permohonan poligami.

Berkaitan pembubaran perkahwinan, Syeikh Baharuddin menjelaskan jenis pembubaran perkahwinan seperti pertukaran agama, perceraian dengan talak, timbang tara oleh hakam, perceraian khuluq, perceraian taklik, perceraian lian, perintah pembubaran perkahwinan atau fasakh dan anggapan mati.

Di samping itu, Syeikh Baharuddin turut mengupas punca berlakunya ‘kekasih gelap’ yang mana menurutnya berpunca daripada kahwin paksa, kurang kasih sayang, menjadi pendengar masalah kawan berlainan jantina, media sosial, godaan dan ‘dari kawan jadi teman’.

Beliau juga menjelaskan antara tanda-tanda seseorang itu berkemungkinan mempunyai kekasih gelap adalah apabila dia tidak benarkan pasangannya menggunakan alat komunikasi, meletakkan ‘password’, kerap balik kerja lewat, malas layan pasangan dan kerap pergi pejabat pada hari cuti.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kebajikan, Sukan Dan Rekreasi IBS, Mohd Saharudin Shakrani berkata, dia berharap program seperti itu akan diadakan lagi pada masa hadapan kerana ia memberi banyak ilmu pengetahuan baharu kepada peserta.

“Pelbagai lagi perkongsian ilmu santai akan diadakan dalam Slot Tarbiyyah Ilmu Bersiri yang akan datang. Semoga program ini dapat memberi panduan kepada semua untuk membina keluarga sakinah, mawaddah warahmah di dunia dan di akhirat,” katanya.

Program yang berlangsung selama dua jam itu berjaya menarik hampir 1,000 tontonan, malah ramai peserta yang mengikuti program ini berpuas hati dengan maklumat yang disampaikan oleh Syeikh Baharuddin.

TAMAT