All News

‘Jom Kayak IBS’ Erat Silaturahim Sesama Staf

 

KAYAK

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) melalui Jawatankuasa Kebajikan, Sukan dan Rekreasi telah menganjurkan Program ‘Jom Kayak IBS’ bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara staf di Tasik Guthrie UUM, baru-baru ini.

Ahli Jawatakuasa Kebajikan, Sukan Dan Rekreasi IBS, Mohd Saharudin Shakrani berkata, antara objektif program ini ialah mendedahkan staf IBS dengan teori dan praktikal berkayak, di samping menimba pengalaman baru yang jarang sekali dirasa oleh warga IBS kerana kesibukan bekerja.

Selain itu, menurutnya, ia juga adalah untuk menguji tahap ketahanan serta kecerdasan fizikal peserta apabila berhadapan dengan sesuatu keadaan terutamanya ketika berada di atas air.

Katanya, aktiviti ini elok dilaksanakan kerana berkayak itu baik untuk kesihatan seperti dengan berkayak secara automatik menggerakkan seluruh bahagian tubuh badan terutamanya otot utama seperti kaki, lengan, punggung, perut dan pinggul.

“Berkayak juga membantu membakar kalori sehingga 400 kalori bergantung kepada kecepatan berkayak dan mengikut kajian mendayung kayak lebih banyak membakar kalori berbanding berbasikal.

“Berkayak juga membantu meningkatkan kekuatan tubuh badan kerana berlaku pengulangan gerakan mendayung ketika menggerakkan kayak ke depan atau ke belakang. Selain itu ia membantu meningkatkan fleksibiliti sendi dan mengurangi stress. Aktiviti ‘Jom Kayak IBS’ ini dipimpin oleh Ahmad Fauzi Othman dan Shukhairy Kamarulzaman dari Pusat Sukan UUM,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan IBS, Dr. Zairy Zainol merakamkan terima kasih dan tahniah kepada Kelab yang menjayakan aktiviti riadah itu dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan untuk manfaat semua warga IBS. 

“Air itu sebenarnya mampu menenangkan jiwa dan syurga juga di bawahnya ada sungai yang mengalir,” katanya.

*Aktiviti dijalankan sebelum Ramadan.

TAMAT