All News

Pelajar Peroleh Ilmu Baharu Bersama Alumni

opportunities

UUM ONLINE: Kelas Seminar Kewangan dan Perbankan Islam (BWFS 3093) di bawah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Pusat Alumni telah menganjurkan sesi webinar bersama alumni bertajuk ‘Talk with Alumni: Opportunities in Islamic Finance and Banking’ melalui Webex, baru-baru ini.

Alumni UUM, Taqi’uddin Hamzah merupakan graduan bidang Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB) pada 2019 yang kini bertugas di Jabatan Product Development di Kenanga Islamic Investor Berhad (KIIB).

Seramai 206 peserta telah menyertai webinar ini terdiri pelajar dari pelbagai program, pensyarah, orang awam dan juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain.

Pensyarah kelas Seminar Kewangan dan Perbankan Islam, Prof. Madya Dr. Zairani Zainol berkata, tujuan utama program itu adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam mengendalikan sesuatu program.

Selain itu, menurutnya, ia juga sebagai satu inisiatif untuk mengasah kemahiran pelajar, terutamanya ‘soft skills’ mereka seperti komunikasi, pengurusan masa dan kerjasama berkumpulan.

Sementara itu, Pengarah program, Muhammad Zakwan Ahmad berkata, program tersebut diadakan sebagai satu usaha untuk memberi pendedahan berkenaan prospek kerja dalam bidang ini kepada pelajar terutamanya kepada mereka yang bakal menamatkan pengajian pada semester akan datang.

Webinar ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu, pada sesi pertama berfokuskan kepada perbincangan berkaitan industri kewangan dan perbankan Islam yang berdaya tahan dalam pandemik COVID-19 ini. Manakala, sesi kedua alumni terlibat berkongsi tentang kerjaya beliau di dalam KIIB, yang mana beliau dan pasukan telah membangunkan satu produk baharu iaitu Kenanga Waqf Al-Ihsan Fund dengan Kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Taqi’uddin kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Sains (Kewangan Islam) di International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF).

Sekian.