All News

Julung Kali Anugerah Dekan IBS Sesi A201 Libat Pelajar PJJ

angurah dekan a202

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) sekali lagi telah menganjurkan Majlis Anugerah Dekan sesi A201 secara atas talian melalui platform Facebook Rasmi IBS, baru-baru ini yang mana ia turut melibatkan pelajar program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), Pusat Pembelajaran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Pusat Pembelajaran Tawau, Sabah.

Seramai 579 orang pelajar dari program Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB), Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (BMA) dan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (Pendidikan Islam) PJJ terpilih untuk menerima Anugerah Dekan pada sesi kali ini.

Program Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB) mencatat bilangan penerima tertinggi iaitu seramai 263 pelajar, diikuti 180 pelajar dari program Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (BMA), 110 pelajar program BIFB, PJJ Pusat Pembelajaran YBR dan enam pelajar dari program Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (Pendidikan Islam) PJJ Pusat Pembelajaran Tawau, Sabah.

Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md Hussain merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima dan menasihatkan mereka untuk meningkatkan kemahiran soft skilsl yang lain seperti dari sudut rangkaian hubungan dan keterampilan diri demi untuk bersaing dalam industri pekerjaan kelak.

Menurutnya, kejayaan itu semestinya amat dibanggakan oleh ibu bapa serta seluruh warga IBS dan beliau berharap pelajar dapat mengekalkan kecemerlangan tersebut hingga ke hujung pengajian.

Sementara itu, wakil pelajar dari program BIFB, Nur Hanis Ahmad mengingatkan semua pelajar untuk berterima kasih kepada pensyarah, ibu bapa serta rakan seperjuangan lain yang merupakan penyumbang utama di atas kejayaan mereka ini.

“Pembelajaran secara Online Distance Learning (ODL) ini amat mencabar bagi kerana terpaksa mengadaptasi dengan teknologi serta suasana pembelajaran yang berbeza, namun ia merupakan satu pengalaman baharu yang sangat berharga,” katanya.

Manakala Nurhanis Fatin Rushami Zien, wakil pelajar program BMA, merakamkan setinggi penghargaan kepada tenaga pengajar di atas kesabaran mengendalikan sesi pembelajaran secara atas talian ini.

Bagi pelajar program PJJ Pusat Pembelajaran YBR, Khairul Ridzuan Jahari, dia berharap dapat mengekalkan kejayaan itu dan berharap semua rakan-rakannya akan bersama mencapai kejayaan ini.

Menurut Muhammad Sahrul Nizam Sahran, wakil pelajar program PJJ Pusat Pembelajaran Tawau, Sabah, cabaran dalam menghadapi sesi pembelajaran secara jarak jauh agak berbeza kerana mereka perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan.

Katanya, kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai tetapi ia memerlukan usaha dan pengorbanan yang tinggi.

Warga IBS amat berbangga dengan pencapaian penerima Anugerah Dekan bagi Semester A201 dan semoga pencapaian ini terus dikekalkan sehingga tamat pengajian kelak.

Sekian.