All News

Webinar Pembangunan Resume Mantapkan Persiapan Kerjaya Pelajar

resume

UUM ONLINE: Seperti kebiasaannya, program-program berbentuk pemantapan persediaan alam kerjaya telah menjadi acara tahunan universiti bagi memberi ruang secukupnya kepada pelajar-pelajar yang bakal menjalani latihan industri sebelum bergelar graduan.

Jawatankuasa Pembangunan Pelajar, Alumni dan Mobiliti (JPPAM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) juga tidak ketinggalan meraikan proses persediaan ini dengan menampilkan jurulatih kerjaya universiti di bawah sokongan Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC) yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Dr. Norizan Azizan menerusi Webex, baru-baru ini.

Program berbentuk webinar ini bertujuan mendedahkan pelajar dengan keperluan penyediaan resume kontemporari yang menjadi pilihan pemain industri gergasi di Malaysia. Tumpuan lebih menjurus kepada pembangunan resume yang mesra sistem penjejak pemohon (ATS).

Selain menyediakan ruang interaksi dua hala antara pelajar dan jurulatih kerjaya, banyak tips didedahkan dan ianya sangat berguna bersempena dengan taklimat kerjaya kampus oleh CIMB pada 13 dan 14 Julai ini.

Webinar santai ini menerima maklum balas positif pelajar terutamanya apabila banyak soalan dikemukakan sangat berkaitan dengan kandungan dan kualiti resume yang diperlukan. Tambahan pula semakin banyak majikan seperti Honda Malaysia dan CIMB melaksanakan pengggunaan sistem tapisan resume berdasarkan Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan.

Justeru, JPPAM IBS berikrar akan terus mendukung program-program bercirikan pembangunan pelajar pada masa hadapan demi memastikan tahap kompetitif graduan bidang kewangan Islam dan perbankan terus kekal dan mencapai aspirasi universiti di bawah sasaran kebolehpasaran graduan walaupun dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dan krisis kesihatan dunia yang mencabar.

Hasil daripada program ini membolehkan kerjasama berterusan antara IBS dan CDC pada masa akan datang. Program ini juga menjadi kenyataan dengan sokongan padu kepimpinan pelajar di bawah Kelab Kewangan dan Perbankan Islam (IFBA).

End.