All News

115 Peserta Sertai Bengkel ‘How To Write A Policy Paper’

policy

UUM ONLINE: Seramai 115 peserta telah menyertai Bengkel ‘How to Write A Policy Paper’ yang disampaikan Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim secara atas talian menerusi Webex, baru-baru ini.

Bengkel anjuran Institute of Shariah Governance and Islamic Finance (ISGaIF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) itu memberi penerangan tentang kaedah penulisan dan penghasilan kertas polisi, selain perkongsian pengalaman dalam membina hubungan baik dengan pihak industri bagi mendapatkan kolaborasi penyelidikan.

Prof. Dr. Asmadi merupakan Felo Bersekutu Kehormat ISGaIF menjelaskan bahawa format penulisan kertas polisi agak berbeza berbanding penulisan kajian akademik kerana penulisan bagi kertas polisi haruslah lebih ringkas dan padat.

Beliau turut berkongsi contoh kertas cadangan penyelidikan diperoleh dari pihak industri seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan FWD Takaful.

Ditanya berkenaan mewujudkan kolaborasi penyelidikan, Prof. Dr. Asmadi berkata, setiap pensyarah perlu menjalinkan hubungan baik dengan pihak industri, di samping berupaya memasarkan diri dan kepakaran untuk mewujudkan kepercayaan (trust) dalam kalangan pihak luar.

“Kepercayaan yang dipupuk dalam hubungan tersebut dapat meningkatkan peluang untuk berkerjasama diantara penyarah, universiti dan pihak industri.

“Apa yang lebih penting adalah sikap bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa untuk terus mencuba walaupun mengalami beberapa kegagalan,” katanya yang juga Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).

Sementara itu, Pengarah ISGaIF, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab berkata, bengkel tersebut merupakan salah satu usaha permulaan untuk mendedahkan kaedah penulisan kertas polisi dalam kalangan pensyarah.

Menurutnya, dia berharap agar bengkel itu dapat diteruskan dan dilaksanakan dalam siri yang berikutnya agar ia dapat menggalakkan penulisan kertas polisi khususnya dalam kalangan pensyarah UUM.

End.