All News

Potensi Besar Industri Pajak Gadai

pkb

UUM ONLINE: Permodalan Kelantan Berhad melalui Akademi Permodalan berhasrat mendidik masyarakat untuk mempelajari tentang kepentingan emas dan menghasilkan generasi ‘celik emas’ memandangkan industri pajak gadai amat berpotensi besar.

Pengurus Pembangunan Perniagaan & Korporat, Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Abdul Rahman Ali berkata, Akademi Permodalan merintis kerjasama pembangunan modul latihan kemahiran emas bersama Universiti Utara Malaysia dengan menawarkan kursus jangka masa pendek kepada mahasiswa dan orang luar. Akademi Permodalan mendapat akreditasi penuh daripada Finance Accreditation Agency (FAA).

“Matlamat kerjasama ini untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dengan pendedahan tentang keperluan memilih yang halal, menghasilkan guna tenaga mahir dalam pasaran sebagai persediaan untuk pekerjaan dalam bidang Ar-Rahnu negara.

“Dari aspek Halatuju dan laluan kerjaya pula, Ar-Rahn memberi peluang pekerjaan dalam industri Ar-Rahnu, melahirkan graduan yang berkemahiran dalam aspek teknik dan praktikal ilmu emas. Kecenderungan graduan tidak hanya tertumpu kepada bidang akademik sebaliknya menyumbang kepada perkembangan sosio-ekonomi negara,” katanya di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, baru-baru ini.

Menariknya, Ar-Rahn menyediakan pembiayaan tanpa faedah (tiada unsur riba), notis lelongan dihantar kepada pelanggan, wang lebihan akan dikembalikan kepada pelanggan dan kadar keuntangan berpatutan.

Industri Pajak Gadai amat berpotensi besar untuk diterokai. Justeru objektif penubuhan Ar-Rahn adalah untuk memberi kesedaran dan membebaskan umat Islam daripada belenggu riba, menyediakan kemudahan mikro kredit yang mudah di samping menyediakan pilihan kepada umat Islam untuk berurusan dengan pajak gadai Islam yang murah dan adil serta memecah monopoli pajak gadai konvensional.

Mengulas lanjut, PKB yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan telah menubuhkan jenama Ar-Rahn yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan mikro kredit patuh syariah.

Keistimewaan Ar-Rahn yang kini mempunyai 30 cawangan di seluruh Malaysia ialah proses transaksi cepat, menerima segala jenis emas termasuk ‘gold bar’ dan dinar, marhun dilindungi takaful dan senarai hitam diterima (CCRIS/CTOS),” ujarnya pada program Kenali Ar-Rahnu Bersama Permodalan Kelantan Berhad anjuran Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan PKB.

Sementara itu, Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md. Hussain menyifatkan emas sebagai alat penyimpan nilai yang amat stabil dan mendatangkan keuntungan pada masa depan.

“Perkongsian ilmu daripada industri memberi kesedaran berkenaan Ar-Rahnu kepada orang ramai di samping memberi pendedahan kepada pelajar tentang industri yang boleh diceburi di masa hadapan.

“Jalinan ini turut membuka peluang kepada pensyarah menjalankan kajian dan UUM berbesar hati untuk menerima geran dari PKB agar berdaya saing. Peluang kerjaya terbuka luas kepada para graduan untuk menjadi eksekutif ar-rahnu di cawangan Ar-Rahn PKB setelah selesai latihan industri di sini,” ucapnya.

SEKIAN.