All News

Kerjasama Strategik Platform Dakwah Sebar Ilmu Pusaka

pusaka

 

UUM ONLINE: Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Pusaka Kuds Sdn Bhd (MyPusaka) akan menjadi titik permulaan sebagai dakwah untuk menyebar ilmu berkaitan pusaka kepada masyarakat.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, dengan kepakaran dimiliki kedua pihak, beliau yakin UUM dan MyPusaka dapat memanfaatkan kerjasama itu dan meneroka peluang baru dalam aspek pusaka.

Menurutnya, MoU antara UUM menerusi Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan MyPusaka itu akan memfokuskan bukan sahaja dalam bidang penyelidikan, malahan penerbitan penulisan yang mana hasil kajian kelak akan membantu umat Islam khususnya untuk menguruskan harta pusaka dengan lebih sistematik dan adil, yakni akan berada di kedudukan lebih baik.

Katanya, beliau juga yakin MyPusaka akan membangunkan bahan-bahan penulisan dalam konteks buku untuk mendidik orang ramai berkaitan pusaka.

"Kerjasama ini menjadi satu platform dakwah kepada kedua pihak untuk menunjukkan betapa sistematik, adil dan tersusunnya Islam itu dalam pengurusan pusaka.

"Saya juga yakin ilmu yang dimiliki UUM dan MyPusaka dapat memperkukuhkan lagi agenda yang terdapat dalam MoU ini demi kebaikan ummah," katanya pada Majlis Menandatangani MoU Antara UUM dengan MyPusaka di Balai Tamu, petang tadi.

Memorandum tersebut telah ditandatangani Naib Canselor, manakala MyPusaka oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyPusaka, Kamarul Azman Mustapha Kamal.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau mahu MoU yang dimeterai itu juga dapat di bawa ke tahap yang bukan sekadar MoU tetapi datang dengan segera menerusi pelbagai program dan aktiviti penyelidikan termasuk kemasyarakatan yang akhirnya kerjasama tersebut akan menjadi satu lakaran sejarah kepada kedua pihak dan masyarakat umum.

Sementara itu, Kamarul Azman berkata, beliau teruja kerana MyPusaka berpeluang menjalinkan kerjasama strategik dengan UUM.

Menurutnya, pemeteraian itu bukan sahaja menjadi satu titik permulaan tetapi perjalanan yang akan membawa kepada satu hasil yang memanfaatkan MyPusaka dan UUM serta masyarakat.

Katanya, masalah pusaka itu merupakan masalah masyarakat terutamanya umat islam yang masih kurang pendedahan tentang pengurusan harta pusaka itu.

"Bagi memberi pendedahan ini, MyPusaka telah menganjurkan ceramah di seluruh negara dan hasilnya, banyak kes-kes pusaka ini dapat diselesaikan. Apa yang penting adalah membuat perancangan.

"Kita mahu bangunkan insan-insan yang kaya tetapi beriman, budiman dan dermawan. Saya percaya MyPusaka akan memberi kerjasama untuk mencapai sesuatu yang baik, seterusnya dapat memperkukuhkan ekonomi negara dan umat Islam," katanya.

Sekian.