All News

Pensyarah IBS Kongsi Ilmu Dengan Warga PSIS

dr adib spis

UUM ONLINE: Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sabak Bernam, Selangor telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Jaringan Keusahawanan Sosial bagi memupuk kesedaran berkaitan manfaat dan kepentingan keusahawanan sosial dalam kalangan pensyarah dari Jabatan Perdagangan dan Kejuruteraan.

Bagi tujuan itu, Pengerusi Program BMA di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Kapten Dr. Mohd Adib Abd Muin yang juga Penasihat Program Diploma Kewangan dan Perbankan Islam, PSIS telah dijemput untuk berkongsi kepakaran beliau bersama 40 pensyarah terlibat.

Dalam sesi itu, Mohd Adib berkata, selain dari memupuk kesedaran dan kepentingan keusahawanan social, peserta turut diberikan pendedahan tentang persepsi keusahawanan sosial dari perspektif Islam dengan merujuk panduan dari al-Quran dan as-Sunnah, malah hala tuju, isu dan cabaran dalam melaksanakan aktiviti keusahawanan sosial juga turut dibincangkan.
Menurutnya, keusahawanan sosial merupakan salah satu nadi utama dalam membangunkan ekonomi negara dengan menyumbang kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), merangsang pelaburan serta menjana peluang pekerjaan melalui penglibatan usahawan sosial. Fokus utama keusahawanan sosial adalah mengutamakan visi dan misi sosial kepada masyarakat yang memerlukan.

Katanya, walaupun tidak berorientasikan keuntungan semata-mata, mereka sedaya upaya bertindak sebagai ejen perubah kepada masyarakat dengan memahami permasalahan sosial dan menggunakan kemampuan keusahawanan untuk melakukan perubahan sosial ke tahap yang baik. “Malah dari perspektif keusahawanan sosial Islam, ia lebih komprehensif lagi dengan mengambil kira maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah serta mengutamakan kebaikan (maslahah) dalam setiap fokus pelaksanaan aktiviti keusahawanan itu sendiri.

“Untuk mendapatkan status sebagai perusahaan sosial dalam keusahawanan sosial di Malaysia mestilah memenuhi salah satu kriteria yang telah ditetapkan iaitu sebanyak 51 peratus tenaga kerja adalah daripada golongan yang kurang bernasib baik; 35 peratus kos perniagaan disalurkan untuk menyediakan pendapatan, latihan atau subsidi barangan atau perkhidmatan kepada golongan yang kurang bernasib baik; 35 peratus daripada bahan mentah atau sumber pengeluaran dibelanjakan untuk mencapai misi alam sekitar dan 51 peratus daripada keuntungan diperuntukan untuk mencapai misi sosial / alam sekitar,” katanya.

Mohd Adib juga menyatakan bahawa persepsi keusahawanan sosial sekarang sudah semakin maju dengan melihat kepada pembangunan ekosistem keusahawanan yang seiring dengan perubahan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) serta peralihan ekonomi tradisional kepada ekonomi baharu (digital), maka semua usahawan perlu memperkemaskan diri dengan ilmu terkini serta berkolaborasi dengan usahawan lain untuk bertahan dalam persekitaran dinamik yang semakin mencabar, selain perlu kekal relevan dan sentiasa peka dengan 17 teras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).