All News

Hati Emas Dr. Fauziah

dr fauziah hati emas

 

UUM ONLINE: Seorang pensyarah sanggup memandu sendirian sejauh 160 kilometer setiap minggu dari Jitra ke Kampung Sungai Pau di Sik, Kedah sejak tujuh tahun lalu untuk memberikan bimbingan kelas Bahasa Inggeris secara percuma kepada pelajar sekolah yang tinggal di sekitar kampung berkenaan.
Dr. Fauziah Mohd Noor ketika ditemu bual berkata, tidak semua mengetahui realiti yang dihadapi anak-anak miskin di kawasan yang jauh dari bandar malah ada yang tercicir dalam pelajaran di usia muda.

“Sebagai pendidik saya merasakan adalah tanggungjawab saya untuk membantu pelajar di kampung untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka.
“Setiap hari Sabtu, saya akan keluar dari rumah jam 8 pagi untuk ke kampung itu yang memakan masa sejam lebih untuk sampai. Alhamdulillah kebiasaannya setiap kali sampai, sudah ramai pelajar yang sudah menanti kehadiran saya yang dipanggil 'teacher'.

"Saya sangat bersyukur kerana ada sahabat-sahabat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sudi menaja sarapan untuk pelajar yang mengikuti kelas tuisyen ini," tambah beliau.

Menurut pensyarah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) di UUM itu, selepas 2 tahun beliau dapat melihat perkembangan positif dalam kalangan kanak-anak yang berumur 6-12 tahun. Malah ramai ibu bapa yang mengakui selepas mengikuti kelas tuisyen, keyakinan diri anak mereka semakin terserlah.

“Saya amat bersyukur dengan pertolongan Allah, murid-murid yang dulunya kurang mahir membaca dalam Bahasa Inggeris kini sudah pandai membaca, menulis dan berani bercakap. Lebih mengujakan ada yang menjadi pemidato dan menang ‘public speaking’ pertandingan antara sekolah. Pelajar yang kini dalam tingkatan 2 juga telah dihantar ke Bangkok untuk projek Young Scientist,” ujarnya yang pernah bertugas di UIAM.

Kelas yang dikendalikan secara bersendirian itu berterusan selama tujuh tahun dengan menggunakan duit sendiri sehinggalah tragedi Covid-19 yang menghalang usaha murninya.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya tidak boleh keluar rumah dan menerima mesej bertalu-talu daripada murid-murid yang ternanti-nanti kehadiran saya. Pada ketika itu saya rasa agak sedih kerana tidak dapat menjalankan kelas tusyen seperti biasa. “Untuk menjalankan kelas secara dalam talian pula agak mustahil kerana kebanyakan pelajar tidak mempunyai gajet dan talian internet di rumah mereka. Oleh sebab itu, saya berbincang dan berpakat dengan sahabat-sahabat di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Raqilla Insani untuk menubuhkan pusat sumber pertama di Kampung Sungai Pau. NGO ini telah menyumbang empat buah komputer meja dan dua komputer riba berserta talian internet berkuasa laju untuk kegunaan mereka,” jelasnya lagi.

Idea untuk menjalankan kelas tuisyen percuma ini tercetus setelah beliau menziarahi adik angkatnya yang tinggal di kampung berkenaan pada tahun 2015. Dalam ziarah itu, beliau dibawa oleh adik angkatnya melawat sebuah keluarga ibu tunggal yang hidup menumpang di sebuah pondok yang daif. Berderai air mata beliau melihat ibu tersebut tinggal bersama tiga anak yang tinggal di tempat yang begitu daif.

Namun, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah membina rumah untuk keluarga tersebut manakala Raqilla Insani pula memberikan bantuan kewangan setiap bulan.
“Dari situ saya bertekad untuk mengadakan kelas tuisyen di Masjid Ubbudiah di Kampung Sungai Pau. Saya memilih masjid agar kanak-kanak yang mengikuti kelas itu dapat mendekatkan diri dengan masjid sedari kecil selain berasa rapat dan mesra dengan masjid.

Selain itu juga, kanak-kanak itu dapat mendirikan solat berjemaah di masjid bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
“Pada awalnya kelas dijalankan untuk darjah 5 dan 6, tetapi memandangkan sambutan luar biasa, sedangkan saya seorang sahaja yang mengajar dan tiada sesiapa yang sanggup membantu jadi saya mengatur kelas menjadi dua sesi dari pagi hingga tengahari," tambahnya lagi.

Menurutnya, rupanya kesusahan yang pernah ditempuhi semasa zaman kanak-kanak adalah tarbiyah untuk beliau mempersiapkan diri menghadapi cabaran pada hari ini.
Sebenarnya bukan itu sahaja, pensyarah berhati mulia yang jarang-jarang ditemui ini juga banyak melakukan kerja amal yang lain dengan mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Raqillah Insani (Insan yang Berbakti) pada tahun 2015 bertujuan untuk membantu mereka yang kesusahan tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. NGO ini bertujuan membuat sumbangan yang dapat memberikan faedah dan manfaat untuk jangka masa panjang.

Pada Mei 2022, pertubuhan ini telah dipilih untuk menerima Relief Fund daripada Prudential Care Relief sebanyak RM20,000. Pada bulan Ogos 2022, NGO Raqilla Insani telah dinamakan sebagai calon untuk anugerah cemerlang oleh Yayasan The Star dan Yayasan Gamuda.

“Saya yakin apabila kita mempunyai niat yang baik Allah akan membuka jalan dan pintu rezeki untuk membantu mereka yang memerlukan," jelas Dr. Fauziah yang turut menceritakan pengalaman yang dilalui semasa Covid-19.

Katanya, ada masanya kita terasa seperti bersabung nyawa untuk mengeluarkan duit dari akaun NGO tetapi tidak boleh dikeluarkan melalui mesin juruwang automatik sebaliknya perlu mengisi borang dan beratur panjang. Namun saya yakin dengan Allah dan berdoa agar Allah melindunginya dari segala marabahaya," terangnya.

Mengulas lanjut, beliau mendapat inspirasi untuk melakukan kerja amal ini daripada seorang ikon hebat, bijak, pemurah dan penyayang. Semuanya bermula ketika berkunjung ke Sarawak untuk misi bantuan kemanusiaan dan kemasyarakatan bersama Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen pada tahun 2010. Beliau pernah menjadi Ketua Eksekutif di Al-Madinah International University (MEDIU), Timbalan Rektor UIAM dan dilantik oleh Kerajaan Arab Saudi mengetuai barisan panel arkitek untuk pembangunan semula bandar Mekah termasuk Masjidil Haram supaya menjadi lebih luas, mesra alam, dan selamat. Panel arkitek tersebut terdiri daripada 16 firma arkitek antarabangsa dari 13 negara termasuk Jordan, Mesir, Jepun, Perancis, Switzerland, India, England dan Afrika Selatan.

“Dalam fikiran saya, rumah beliau mesti besar dan cantik sesuai dengan kedudukannya sebagai arkitek ulung dunia tapi sangkaan meleset apabila rumahnya begitu sederhana yang dibahagi kepada dua bahagian iaitu untuk keluarga dan sebahagian lagi dijadikan asrama 10 bilik untuk sukarelawan termasuk 'backpackers'. Asrama itu siap dengan ruang perpustakaan dan kelengkapan internet.

Malah anak beliau turut membantu anak-anak kampung yang datang belajar di pusat tuisyen tersebut. Ismawi turut membawa kami menziarahi saudara maranya yang sakit.
“Yang lebih menarik Prof. memiliki ladang luas yang diuruskan oleh anaknya sendiri, Izzat yang berkelulusan ICT dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Anaknya menguruskan kelapa sawit bertan-tan bersama orang kampung yang bekerja di ladang itu. Beliau juga turut membuka kebun nanas, menternak kambing yang membuka peluang pekerjaan kepada orang kampung.
"Malah Prof. selalu menghulurkan bantuan apabila ada orang yang memerlukan. Saya sangat berbangga apabila melihat kejayaan beliau menubuhkan Yayasan ZenAra yang mengambil sempena nama allahyarham ayah dan allahyarhamah ibunya.

“Insan inilah yang membangkitkan semangat dan inspirasi kepada saya untuk melakukan kerja mulia walaupun saya bukan orang kaya. Alhamdulillah saya disokong oleh ramai sahabat yang sehati sejiwa dalam perjuangan membantu asnaf, ibu tunggal dan anak yatim. Rupanya apabila kita semakin banyak menolong orang susah, rezeki NGO lagi mencurah-curah,” kongsinya.
“Pernah ditanya kenapa saya lakukan semua ini. Sebab saya pun orang susah pernah melalui hidup yang sukar. Arwah ayah seorang buruh kasar yang membuat macam-macam kerja seperti buruh kilang getah, gembala kambing dan jadi tukang kebun. Arwah mak pula menjual nasi lemak dan kuih-muih seperti pulut udang dan karipap demi mencari rezeki halal,” katanya.
Malah beliau berkongsi pengalaman apabila terpaksa meredah gelap menghantar kuih muih bersama adiknya, Habibah, dari rumah ke rumah sebelum ke sekolah semasa orang lain sedang tidur nyenyak

Malah semasa hari cuti mereka akan menjaja kuih ke sekeliling kampung sehingga dikenali sebagai "budak jual kuih" oleh seorang tauke kedai berbangsa Cina di kampungnya.
Mengenangkan dirinya dan asal-usul keluarga miskin dari kampung, beliau belajar bersungguh-sungguh sehingga ditawarkan biasiswa dari tingkatan satu sehingga melanjutkan pengajian ijazah pertama di Universiti Malaya (UM), Sarjana Undang-undang di UniversitY of London dan pengajian doktor falsafah di UniversitY of Birmingham, UK.

“Sepanjang tempoh itu, bukan sedikit biasiswa yang ditanggung kerajaan dan pembayar cukai. Hampir RM1 juta yang juga amanah daripada orang ramai untuk saya belajar hingga ke tahap PhD. Jadi apabila telah berjaya, dari seorang anak kampung yang naif dan tidak ada apa-apa, menjadi pensyarah yang punya kehidupan lebih baik saya mesti sumbangkan balik kepada rakyat,” luahnya.

Hati adalah tempat jatuh "pandangan" Allah. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat ke-49, yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kami di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa."
Malah Rasulullah S.A.W. turut menegaskan, mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) jasad kamu mahupun hartamu, bahkan Allah melihat hati kamu."
Anak-anak bangsa memerlukan watak-watak berhati mulia seperti beliau bagi membantu mereka keluar daripada kemelut belenggu kemiskinan.