All News

UUM DAN Raqilla Insani Merakyatkan Diri Santuni Anak-anak Desa

komuniti sg pau

 

Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie


UUM ONLINE: Sik - “Jangan mengunci diri di dalam bilik. Keluar dan merakyatkan diri bersama masyarakat,” begitulah nasihat Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah kepada semua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).


Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Festival Kanak-kanak dan Remaja Sik, 2022 di pekarangan Masjid Ubuddiyah Kampung Sungai Pau, pagi tadi.
Menurut Haim Hilman, pensyarah-pensyarah UUM harus merakyatkan diri dengan berada di kampung-kampung, jalanan dan dalam masyarakat.


Katanya, kerajaan telah memperuntukkan berjuta ringgit untuk melahirkan seorang pensyarah yang bukan hanya mengajar di dewan kuliah tetapi turut menyumbang kepada masyarakat.
Dan, hari ini terbukti apabila pensyarah UUM bergandingan dengan badan bukan kerajaan (NGO), Raqilla Insani (RI) yang dipengerusikan oleh pensyarah, Dr. Fauziah Mohd Noor menyantuni anak-anak luar bandar menerusi penganjuran Festival Kanak-kanak dan Remaja Sik itu.


Dalam ucapannya juga, Haim Hilman bersyukur kerana diberi peluang dan ruang untuk membina silaturahim dengan warga Sik, khususnya penduduk Kampung Sungai Pau.
“Inisiatif yang dilakukan oleh Raqilla Insani yang diusahakan Dr. Fauziah ini sangat dekat di hati saya yang memberi peluang menyantuni anak-anak kampung yang datang dari pelbagai latar belakang.


''Saya bangga kerana beliau sudi meluangkan masa bertahun-tahun berusaha untuk membina jati diri anak bangsa. Saya percaya, kita adalah sebahagian daripada sistem kasih dan sayang yang dibina dalam kehidupan ini.


''Kita tidak dilahirkan dan berjaya pada hari ini kerana kita hebat tetapi kerana adanya doa dan kasih sayang ibu bapa yang sanggup menafikan keinginan hati mereka semata-mata untuk melihat anak-anak berjaya,'' katanya.


Tambah beliau, usaha yang dilakukan NGO pada hari ini adalah sesuatu yang menggembirakan dan beliau bersyukur kerana anak-anak desa ini tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan termasuk pendidikan.


Beliau turut menyeru agar anak-anak tersebut disantuni apabila mempunyai ruang masa kerana beliau yakin Allah memberi peluang kepada kita untuk mempersiapkan anak-anak ini sebagai pejuang yang bukan sahaja memimpin malah pemimpin pemikir hebat pada masa hadapan.


Haim Hilman turut menyeru agar ibu bapa sentiasa bersyukur dan bersatu dalam apa jua usaha yang dilakukan NGO itu demi mengembalikan sesuatu kepada masyarakat dan anak-anak.
''Kita tidak mahu melahirkan anak-anak yang hanya gembira tatkala bahagia tetapi mahu melahirkan pemimpin di malam hari menangis kepada Allah meminta kekuatan agar dapat menyantuni dan memimpin umat, manakala di siang hari menjadi singa-singa yang berjuang demi bangsa.


''Saya yakin dan percaya bahawa anak-anak di kampung ini akan belajar bersungguh-sungguh walaupun berasal dari keluarga susah tetapi jangan sesekali berasa sedih kerana ramai yang berjaya pada hari ini juga berasal dari keluarga yang miskin, datang dari sawah bendang, ladang kelapa sawit, malah mungkin tidak pernah disantuni.


''Walaupun kita dari keluarga susah tetapi berusahalah untuk menggembirakan ibu bapa dengan akhlak yang mulia. Biar rumah usang tetapi akhlak mulia anak kita sentiasa disebut-sebut orang,'' ujar beliau yang turut berharap Raqillah Insani akan terus berusaha dan kembali menyumbang kepada masyarakat.


Malah beliau turut memberi jaminan UUM akan berusaha memastikan untuk menjadi sebahagian daripada cerita-cerita ibu ayah itu sebagai satu kenangan dalam lipatan sejarah peribadi.
Sementara itu, Pengarah Program, Dr. Fauziah berkata, Raqilla Insani merupakan NGO dalam kebajikan dan juga dakwah.


Menurutnya, dia bersama rakan di Facebook menggerakkan Raqilla Insani sejak 2005 bagi menjayakan kerja amal bertemakan Kasih Tanpa Sempadan.
Raqilla Insani turut menganjurkan program bantuan sempena kembali ke sekolah, Ramadan dan Aidilfitri, tuisyen Bahasa Inggeris percuma serta membantu keluarga asnaf secara berterusan dengan memberikan bantuan bulanan dalam bentuk wang perbelanjaan dapur dan bantuan persekolahan.


Sempena festival ini juga, pelbagai acara diadakan antaranya ialah persembahan silat, ‘rope jump’, ‘public speaking’, kawad, demonstrasi memanah, perarakan motosikal kuasa tinggi Harley Davidson dan demonstrasi pengendalian dron.