All News

LAWATAN KE PSU, THAILAND TUKAR IDEA TENTANG AMALAN TERBAIK PENGURUSAN ZAKAT

21 MAC 2023 / 28 SYAABAN 1444H
============================

"UUM : UNIVERSITI PENGURUSAN TERKEMUKA"
(THE EMINENT MANAGEMENT UNIVERSITY)

 

Berita dan gambar oleh: Dr. Mohd Sollehudin Shuib

PSU

UUM ONLINE: Pattani – Lawatan delegasi pasukan penyelidik dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) di bawah geran penyelidikan padanan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) ke Fakulti Sains Islam, Prince of Songkla University (PSU) Kampus Pattani membuka peluang kerjasama dan pertukaran idea tentang amalan terbaik dalam pengurusan institusi zakat.

Lawatan diketuai Dr. Mohd Farihal Osman itu turut mengadakan simposium antarabangsa bertajuk ‘Exploration of the Best Practice Zakat Management in Southeast Asia’ yang mengumpulkan pelbagai pihak yang terlibat dalam pengutipan dan pengagihan zakat di selatan Thailand.

Simposium ini menjadi wadah kepada peserta membincangkan dan berkongsi pengalaman tentang pelbagai pendekatan dalam pengurusan zakat seperti kerangka undang-undang, struktur institusi, dan kemajuan teknologi dalam pengurusan zakat.

Dr. Faisal Mustaffa yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menyampaikan ucap tama yang memfokuskan kepada cabaran dan peluang dalam pengurusan zakat dan menekankan peranan LZNK mempromosikan amalan terbaik dalam pengurusan zakat.


Selain daripada simposium, forum bertajuk ‘Exploration of the Best Practice Zakat Management at Pattani and Kedah’ juga telah diadakan yang menampilkan panelis dari pelbagai institusi untuk membincang dan berkongsi pengalaman tentang amalan terbaik dalam pengurusan zakat di kedua-dua tempat tersebut.

Selain penganjuran symposium, lawatan ini juga merangkumi perbincangan mengenai dapatan kajian geran yang dilakukan oleh penyelidik IPIZ dengan kerjasama PSU bertajuk ‘Model Pentadbiran Zakat Berdasarkan Amalan Pengurusan Terbaik (Best Practice Management): Kajian Perbandingan di Kedah dan Pattani’ yang bertujuan untuk membandingkan amalan pengurusan zakat di kedua-dua tempat ini dan mengenal pasti amalan terbaik yang boleh diadaptasi di kawasan lain.

Penyelidikan ini turut dianggotai oleh penyelidik dari NGO tempatan iaitu Pesuruhjaya Majlis Dakwah negara (MDN) Negeri Kedah, Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md Hussain dan Presiden Ummah Care Malaysia, Nasir Zakaria.

END.