All News

PROF. DR. ROSYLIN TERSENARAI WANITA PALING BERPENGARUH DUNIA DALAM PERNIAGAAN DAN KEWANGAN ISLAM

 

LIN

Sintok: Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia, pepatah Melayu itu menggambarkan betapa hebatnya pengaruh seorang wanita dalam kehidupan manusia.

Ini terbukti apabila Profesor Ekonomi dan Kewangan Islam dan Dekan Pusat Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof disenaraikan dalam kategori ‘Most Influential Women in Islamic Business & Finance 2022 dan diiktiraf sebagai ‘Womeni Academica For The Year 2022’ oleh Cambridge IFA.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar di Menara Maybank Kuala Lumpur, baru-baru ini yang diberikan kepada wanita luar biasa yang telah memberi inspirasi, mempengaruhi dan memimpin dari hadapan serta kisah ketabahan dan dedikasi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah ini sememangnya satu pengiktirafan kepada semua wanita yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada pembangunan perbankan Islam di Malaysia serta di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jelasnya, program WOMANi telah dilancarkan secara rasmi oleh Cambridge IFA pada 2018 untuk memperkasakan wanita dan meraikan pencapaian cemerlang mereka dengan memperkasakan sekurang-kurangnya satu juta wanita darii pelbagai negara merentas pelbagai bidang profesion.

Prof Dr. Rosylin telah menjadi penyokong Perbankan dan Kewangan Islam sejak empat dekad lalu.

Beliau menyifatkan anugerah itu adalah kemuncak dedikasi, profesionalisme, ketabahan, kejayaan dan kerja kerasnya sepanjang karier dalam mengajar, menyumbang kepada penyelidikan dan penerbitan dalam Ekonomi dan Kewangan Islam.

Menyusuri perjuangan hidupnya, beliau merupakan ahli exco ‘International Council of Islamic Finance Educators (ICIFE)’, Pengerusi Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial, Akademi Profesor Malaysia, ketua editor Jurnal Antarabangsa Perniagaan Islam dan ahli editorial Jurnal Perakaunan Islam dan Penyelidikan Perniagaan yang berpangkalan di United Kingdom.

Beliau telah menerbitkan lebih daripada 50 kertas kerja dalam bidang Perbankan & Kewangan Islam dan menerima Anugerah Sasterawan Zamrud Antarabangsa pada 2019, selain meraih pelbagai anugerah dalam penyelidikan dan penerbitan di peringkat nasional dan antarabangsa.

 Tamat

Selain pencapaian akademiknya, Prof Dr. Rosylin telah dianugerahkan Pingat Paduka Mahkota (PMK), Negeri Kelantan pada tahun 2018.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Dr Mohd Foad Sakdan turut berbangga dengan pencapaian beliau yang disenaraikan didalam kategori Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam 2022 dan diiktiraf sebagai WOMANi Academica For The Year 2022.

“Saya mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang yang mengharumkan nama UUM. Anugerah itu secara tidak langsung meletakkan UUM pada peta global kecemerlangan akademik, yang menjadi kebanggaan bagi universiti dan negara,” katanya.