All News

PIHEC PLATFORM IHM UUM LONJAK PASARAN LATIHAN HALAL

5 768x8364  

Gambar Nur Sakinah Mohamed Jamil/UUM Today

BAYAN LEPAS: Penyertaan Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia dalam Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) 2023 membantu Pusat Kecemerlangan (CoE) IBS itu dalam melonjakkan pasaran latihan halal kepada industri.

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, penglibatan kali pertama IHM dalam acara sebegini akan membantu dalam pengembangan potensi IHM.

Di samping itu, beliau berharap ia menjadi acara tahunan IHM dalam penglibatan pada tahun akan datang kerana PIHEC mempromosikan ekosistem perniagaan halal di peringkat domestik dan global.

Selain itu, IHM juga dalam proses membantu dua syarikat kategori mikro dan kecil dalam proses permohonan pensijilan halal dan kini sudah di peringkat akhir permohonan.

Dr. Nor Aina berhasrat untuk membantu lebih banyak syarikat-syarikat ke arah pensijilan halal.

“IHM menyertai acara ini dengan membuka satu lot reruai pameran yang bertujuan untuk mempromosikan kursus dan latihan halal di bawah kelolaan IHM sendiri seperti Latihan Kompetensi Halal, Latihan Kesedaran Halal, Latihan Eksekutif Halal dan Latihan Audit Halal Dalaman,” ujarnya.

Turut serta, Dekan IBS, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof yang melihat acara itu dapat mengembangkan lagi potensi IHM.

IHM merupakan Pusat Pengendali Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Majlis Profesional Halal (HPB), JAKIM dan telah menganjurkan kursus dan latihan halal kepada hampir 50 syarikat di sekitar zon utara.

Beberapa Badan Penyedia Latihan Halal diiktiraf JAKIM yang turut serta antaranya Halal Advisory & Research Institute Selangor (HARIS) dan UNITI Halal Centre (UHAC). IHM turut berbincang untuk menjalinkan hubungan kerjasama bersama mereka.

Selain itu, IHM turut mengambil peluang mempromosikan sijil Islamic Financial Planner dan program pengajian meliputi peringkat sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah di bawah IBS.

PIHEC 2023 adalah program tahunan anjuran Penang Halal International Sdn. Bhd. di mana pada kali ini ia dianjurkan selama tiga hari pada 23 hingga 25 Jun lalu di Setia Spice Convention Centre.

Antara pemain industri yang menyertai PIHEC 2023 adalah Serunai Commerce iaitu sebuah syarikat berfokus dalam membangunkan ekosistem digital halal yang bersifat komprehensif untuk meningkatkan kesalinghubungan dan ketelusan pasaran halal global.

PIHEC 2023 juga turut dihadiri oleh badan pensijilan halal luar negara seperti HALAL Certification Center of Chile – Chilehalal dan Instituto Halal – Spain.

Tamat