All News

INOVASI HABUCKMY TARIK MINAT PELAJAR

 

1ec5a478 a56c 4718 8e06 59684a6e3697 1024x768

Sik – Inovasi permainan yang dinamakan “HaBuckMy” berjaya menarik minat pelajar Sekolah Maahad Dini Sultan Abdul Halim untuk mendalami ilmu pengurusan kewangan dan kepenggunaan Islam.

Program sehari ini diterajui oleh empat penyelidik dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM, iaitu Dr Siti Hajar Salwa Ahmad Musadik, Dr Nor Syahidah Ishak, Dr Noraini Yusuff dan Dr Muhammad Fakhirin Che Majid dan seorang wakil dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Siti Hajar Salwa berkata, Program Pendidikan Kesedaran Pengurusan Kewangan dan Kepenggunaan Islam Menggunakan Kaedah Pembelajaran Berasaskan Permainan (GBL) melibatkan seramai 41 pelajar tingkatan empat di sekolah yang diselia oleh LZNK. Mereka merupakan anak-anak asnaf di mana yuran pengajian, penginapan serta makan dan minum di sekolah ditanggung oleh LZNK.

Jelasnya, program ini memperkenalkan permainan “HaBuckMy” yang merupakan satu inovasi dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan Literasi Pengurusan Kewangan dan Kepenggunaan Islam melalui kaedah Pembelajaran Berasaskan Permainan (GBL).

HaBuckMy bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada para pelajar di sekolah dan juga universiti untuk memahami berkenaan Pengurusan Kewangan dan Kepenggunaan Islam.

“Melalui permainan ini mereka akan dapat memahami bagaimana cara untuk melakukan aktiviti pengurusan kewangan dan kepenggunaan mengikut perspektif Islam, cara berbelanja dengan betul, kaedah simpanan dan pelaburan secara Islam dan juga kaedah pemberian dalam Islam seperti bersedekah, berwakaf dan berzakat.

“Alhamdulillah sambutan yang diberikan sangat menggalakkan yang memperlihatkan keterujaan pelajar. Mereka memang suka dengan inovasi ini tambahan pula pihak sekolah memberi kerjasama yang sangat baik

“Jika sebelum ini mereka faham tentang asas pengurusan kewangan tetapi kurang jelas dari sudut Islam namun dengan memperkenalkan HaBuckMy dilihat dapat menarik minat pelajar untuk memahami ilmu kewangan dan kepenggunaan Islam dengan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, program itu dibuat dalam dua sesi iaitu sesi pertama dimulakan dengan pemindahan ilmu diikuti pengukuhan kefahaman pelajar dinilai dalam bentuk permainan.

Permainan ini berfungsi untuk menguji kefahaman para pelajar dalam empat aspek iaitu penggunaan dan perbelanjaan Islam, simpanan, pendapatan dan pelaburan Islam serta pemberian.

Tamat