All News

MEMORI INDAH KEMBAR BERKONGSI PENTAS KONVO

 

9 1024x682

 

GAMBAR MOHD FUAD HAMID/UUMTODAY

Sintok: Memori indah terpahat di kalbu sepasang adik beradik kembar yang berkongsi pentas pada hari bersejarah bagi mengambil skrol akademik mereka sempena Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM), sesi kelima, di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Pasangan kembar berkenaan ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Nurma Hairil Anuar dan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Nurin.

Nurma menzahirkan rasa bertuah menerima ijazah pada hari yang sama dalam bidang masing-masing serta puas dapat melihat adiknya naik ke pentas sekali gus menjadi detik manis untuk dikenang.

Berkongsi kisah, Nurma dari Pantai Remis, Perak, berkata, walaupun kembar sering dikatakan sama dalam semua perkara, namun sebaliknya bagi mereka ketika dalam pengajian.

Nurma berkata, memandangkan bidang pengajian berlainan mereka lebih gemar mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan sama ada di asrama mahupun perpustakaan berikutan suasananya yang kondusif, tenang dan selesa.

“Perasaan ada kembar? kembar ialah kawan baik, bila ada masalah, kembarlah orang pertama yang kita cari untuk mengadu begitu juga bila gembira pun kita mahu dia ada di sisi kita.

“Walaupun muka sama namun sikap dan minat berbeza, saya seorang yang pemalu dan tekad dalam sesuatu hal berbanding Nurin seorang sukakan cabaran sebenarnya perbezaan itu yang melengkapkan kami,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Nurin berkata, sejak dari kecil mereka jarang berenggang dan bila berenggang rasa tidak sempurna hidup memandangkan banyak aktiviti yang dilakukan bersama-sama.

“Apa-apa pun semua nak sama bahkan dari kecil kami terbiasa dengan baju yang sama cuma warna yang berbeza namun bila menginjak dewasa semua itu berubah, disebabkan masing-masing sibuk dengan kerja tapi kami sentiasa rindukan detik bersama dan mencari waktu untuk bertemu,” kongsinya.

Mengulas lanjut, selepas mendapat keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) masing-masing nekad mahu ‘berpisah’ dan membawa haluan masing-masing mana tidaknya, sejak dari tadika, sekolah hinggalah Tingkatan enam mereka tidak pernah berpisah.

“Jadi kami mahu cabar diri untuk belajar di universiti yang berbeza tapi bila keluar keputusan UPU, kami terkejut dan memang tidak sangka dapat universiti yang sama walaupun berbeza bidang, kita merancang Allah sebaik-baik perancang.

“Masuk universiti, kami duduk sebilik, di Inasis Petronas pendek kata hidup kami sama seperti di rumah cuma tiada mak ayah dan adik beradik lain,” ujarnya.

Nurin turut berkongsi kenangan yang tidak dilupakan ketika pertama kali melangkah masuk di pintu gerbang UUM.

“Saat itu kami macam tidak percaya mampu menjejakkan kaki ke menara gading seperti yang diimpikan dulu pada masa sama sebak dengan pengorbanan ibu ayah demi melihat anak-anak berjaya, pengorbanan itu tidak mampu dibayar meskipun dengan wang ringgit,” ujarnya.

Menurutnya kehidupan kampus ini sebenarnya banyak dugaan di mana pelajar berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan juga air mata demi segulung ijazah tapi, semua perkara inilah yang mengajar kami realiti kehidupan sebenar.

“Bila belajar di universiti bermaksud kita jauh daripada keluarga, kena pandai bawa diri jadi sahabatlah yang menjadi keluarga kedua misalnya pergi kuliah, makan minum dan bergelut menyiapkan tugasan pun dengan mereka yang sentiasa ada di kala susah senang,” katanya.

Tambahnya, selama empat tahun pengajian, UUM banyak mengubah cara sudut pandang melihat dunia dan membentuk dirinya untuk melakukan yang terbaik. Ranjau yang berliku-liku itu sebenarnya mendidik diri mereka agar lebih kuat.

Tamat