All News

LEPASAN KOLEJ PROFESIONAL BAITULMAL DAPAT PENGECUALIAN KREDIT SAMBUNG BELAJAR DI UUM

 

 3 3 1024x584

Sintok: Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan agenda anak bangsa khususnya golongan asnaf.

 

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, memorandum itu membolehkan kedua-dua pihak melaksanakan kerjasama strategik antaranya merapatkan lagi hubungan antara IPTA dan IPTS, membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar lepasan KPBKL untuk menyambung pengajian di UUM, menyuburkan budaya perkongsian ilmu dengan menganjurkan syarahan umum, diskusi ilmiah, dan forum.

 

Dalam konteks ini, UUM sentiasa merangka strategi kerjasama dengan pelbagai pihak ke arah membangunkan anak bangsa. Agenda membangunkan anak bangsa, lebih-lebih lagi kumpulan asnaf adalah satu tanggungjawab yang dituntut dalam Islam. “UUM telah bekerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam memacu pengurusan zakat yang efisyen di Kedah. Penyelidik UUM telah menjalankan pelbagai kajian berkaitan pengurusan zakat dan dapatan kajian telah dimanfaatkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi menambahbaik pengurusan zakat bagi manfaat golongan asnaf.

 

“Syabas saya ucapkan kepada Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) atas inisiatif mengadakan kerjasama ini serta setinggi-tinggi penghargaan atas usaha dan komitmen semua yang terlibat dan KPBKL kerana memberi sokongan dan kepercayaan kepada UUM,” ucapnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Utara Malaysia dengan Kolej Professional Baitulmal, Kuala Lumpur (KPBKL), di Balai Tamu, UUM, semalam.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, KPBKL MAIWP, Radzuan Razali berkata, memorandum ini merupakan satu kolaborasi strategic seperti pemindahan kredit kepada graduan diploma KPBKL, projek penyelidikan dan pembangunan, mengadakan bengkel dan program latihan, pertukaran staf, inovasi dan pertukaran penerbitan.
Beliau menyifatkan majlis ini amat bermakna seiring dengan aspirasi dan iltizam KPBKL untuk memberi peluang kepada pelajar di seluruh negara mendalami ilmu dan melahirkan graduan yang mampu berdaya saing dalam industri kelak.

 

KPBKL merupakan sebuah institusi milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang ditubuhkan pada 1992, bermula dengan hanya menawarkan dua program profesional terus berkembang. “Kini menawarkan 17 program yang terdiri daripada 12 program Diploma Homegrown, dua Sijil Profesional dan tiga program usahasama UiTM, lebih membanggakan pada tahun lepas KPBKL telah mendapat kelulusan untuk mengambil pelajar antarabangsa.

 

“KPBKL juga memiliki Pusat Latihan & Konsultansi yang menawarkan kursus jangka pendek seperti Pengurusan Halal, Travel & Tours Enhancement Course (TTEC), Umrah Specialized Enhancement Course (USEC), team building, komunikasi dan pengurusan sumber manusia,” ujarnya.
Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.

Sekian.