All News

SEMARAK KASIH BUBUR LAMBUK SERI SINTOK

bubur pkb

UUM ONLINE: Sudah menjadi tradisi warga Universiti Utara Malaysia (UUM) memasak Bubur Lambuk Seri Sintok secara beramai-ramai dalam suasana harmoni, sekali gus menghidupkan bulan Ramadan yang mulia.Menyaksikan momen bersulam ukhuwah ini, Pengerusi, Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Hj. Ahmad Yakob bersama delegasi turun padang memasak bubur lambuk pada Program Semarak Kasih, baru-baru ini.Sabda Nabi Muhammad Sollallahua’laihiwasalam“Hai orang ramai. Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur. Nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”

“Inilah masanya kita berkumpul memasak secara bergotong-royong semuanya sepakat tolong-menolong walaupun dalam keadaan berpuasa tetapi masih ceria dan bertenaga ketika membuat persiapan sehingga selesai masak.“Saya difahamkan bubur ini dimasak secara bergilir-gilir oleh kakitangan UUM dengan kerjasama Pusat Islam mengikut jadual sepanjang bulan Ramadan. “Semangat kerjasama seperti inilah yang kita mahukan sekali gus dapat mengeratkan silaturahim antara staf dari jabatan lain terutamanya yang jarang berjumpa untuk bertanya khabar,” ujarnya pada Program Semarak Kasih, di Dapur Pusat Islam.

bubur 2

Dato’ Bentara Kanan teruja melihat proses pengurusan termasuk penyediaan dan agihan bubur lambuk yang disifatkannya sebagai unik dan menarik malah inisiatif menyantuni komuniti melalui pemberian bubur lambuk yang dilakukan ini sangat wajar diteladani yang merupakan amalan mulia.Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berbesar hati dengan kunjungan delegasi PKB yang berpeluang melihat proses memasak dan agihan bubur lambuk. “Walaupun keberadaan delegasi PKB dengan UUM hanyalah sekejap cuma, namun kemesraan dan keakraban ini amat dirasai oleh semua yang hadir malah ramai yang tidak melepaskan peluang beramah mesra dan berswa-foto bersama Dato’ Bentara Kanan yang juga merupakan mantan Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Dato’ Bentara Kanan turut menyumbang secara peribadi satu periuk bubur lambuk untuk diedarkan. Jelasnya, Program Semarak Kasih yang dianjurkan oleh Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi IBS (KKSR-IBS) menerima tajaan daripada pihak pengurusan PKB dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ). Kira-kira 500 bekas bubur lambuk Sintok diedarkan kepada penduduk sekitar seperti Balai Polis Changlun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, perumahan kakitangan UUM, Pusat Pemulihan Dadah Darul Munawarah, UPSB, sekolah dan taman perumahan sekitar Changlun.Bubur lambuk kali ini juga diedar rentas sempadan iaitu kepada komuniti Muslim di sekitar Selatan Thailand.

 

bubur5