All News

IBS, SOG SERTAI ERASMUS+ INTERNATIONAL STAFF WEEK DI DICLE UNIVERSITY, TURKIYE

erasmus

Oleh: Dr. Nor Syahidah Ishak

Gambar oleh: Suzylah Sohaimi

UUM ONLINE: Bagi menyokong agenda proses pengantarabangsaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui program mobiliti pelajar dan mobiliti staf telah menghantar tiga pensyarah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan seorang dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) menyertai program Erasmus+ International Staff Week yang berlangsung pada 5 Mei hingga 10 Mei lalu di Dicle University, Turkiye.

Pensyarah terlibat ialah Dr. Nor Syahidah Ishak, Dr. Nor Aina Mhd Khotib, Dr. Siti Hajar Salwa Ahmad Musadik dari IBS dan Dr. Suzylah Sohaimi (SOG) yang merupakan satu-satunya wakil universiti daripada Malaysia.

Program mobiliti staf Erasmus+ International Staff Week 2024 ini telah dihadiri oleh 30 peserta daripada 16 negara Eropah, Asia dan Amerika Selatan.

Dr. Siti Hajar Salwa berkata, program tersebut adalah peluang terbaik untuk bertemu rakan sekerja daripada universiti lain di peringkat antarabangsa dan menyediakan platform terbaik dalam menjalankan kerjasama penyelidikan, penerbitan dan perpindahan ilmu di masa hadapan.

Menurutnya, UUM turut serta dalam sesi mempromosikan universiti bersama dengan universiti-universiti lain di mana ia memberi peluang kepada wakil universiti yang hadir bagi mendapatkan input untuk menjalinkan kerjasama di bawah geran Erasmus pada masa akan datang.

 

eras2

Pelbagai pengisian telah diatur oleh sekretariat daripada Internasional Relation Office Dicle University termasuk lawatan fasiliti dan fakulti yang terdapat di universiti tersebut, program silang budaya, perbincangan berkenaan program mobiliti pelajar, peluang pembelajaran mobiliti di antara universiti yang hadir.

UUM turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dicle University pada Mac lalu di mana ia merupakan salah satu peluang dan langkah dalam mengukuhkan kerjasama antara UUM dan Dicle University, Turkiye.

Pensyarah terlibat turut berpeluang menyertai Pameran Reruai Akademik yang mana pelajar daripada Dicle University berpeluang untuk melihat peluang-peluang program dan kursus yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.

Reruai UUM mendapat perhatian kerana merupakan satu-satunyaa universiti daripada negara Islam dan menerima ramai pengunjung untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan UUM dan kursus yang ditawarkan.

Satu pertemuan ringkas antara pensyarah-pensyarah UUM bersama Rektor Dicle University, Prof. Dr. Mehmet Karakoc telah memberikan input yang menarik untuk diterokai.

Dr. Mehmet berkata, bidang perbankan dan kewangan Islam mempunyai peluang yang cerah dalam pelaksanaan aktiviti kerana universiti ini amat kekurangan akademik yang berkaitan bidang tersebut.

Beliau turut berkongsi beberapa persidangan dan program halal di peringkat antarabangsa yang mana merupakan platform terbaik dalam mempromosikan program halal UUM dan turut tertarik dengan Pusat Pengajian Kerajaan.

Penyertaan dalam program Erasmus+ International Staff Week ini bukan sahaja menonjolkan UUM di persada antarabangsa tetapi juga meletakkan batu asas untuk perkongsian ilmu pengetahuan yang boleh membawa kepada kemajuan akademik, penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa.

eras4