SINTOK, 23 Disember 2024: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi role model kepada kejayaan sebagai Pusat Latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di UUM bermula dari 2022.
SLDN diketuai oleh Pengurus Pusat Bertauliah SLDN, UUM, Dr. Muhamad Fikri Aziz. Kejayaan tersebut telah melahirkan perantis seramai 50 peserta melalui 3 kohort.
Kejayaan ini telah menarik minat Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad untuk mengembangkan lagi kepada pusat pengajian UUM yang lain bagi memberi peluang dan nilai tambah kepada perantis terutamanya pelajar UUM.
Menurutnya, sebanyak lapan program yang melibatkan lima program baharu dan satu program pensijilan semula akan diaudit.
Sesi pentauliahan kali ini melibatkan tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).
Sesi pentauliahan ini telah diadakan pada 23 Disember yang melibatkan tujuh wakil dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Pentauliahan JPK, Kementerian Sumber Manusia, Mohd Nor Dollah.
Mohd Nor berkata, tiga komponen utama yang akan dilihat sepanjang sesi pentauliahan berlangsung iaitu penggunaan modul kokurikulum berdasarkan NOSS, temu bual bersama tenaga pengajar SLDN UUM yang terlibat dan semakan dokumen serta fasiliti pusat latihan.
Laporan dan dapatan dalam sesi audit telah dibentangkan dalam penutup audit terhadap tujuh program baharu iaitu Program Percukaian dan Audit Dalam dari TISSA, Program Produksi Audio dari SCIMPA dan Program Bimbingan Umrah dan Mutawwif serta 3 Pengurusan Operasi Masjid (Pengoperasian, Penyelarasan Operasi dan Penyeliaan Oprasi) dari IBS telah menunjukkan keputusan yang positif untuk diiktiraf sebagai program baharu yang akan ditawarkan oleh PB SLDN UUM pada 2025.
Pada masa yang sama juga, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) turut diaudit untuk pembaharuan penawaran program bagi Penyeliaan Operasi Halal Tahap 3.
Pengurus PB SLDN UUM, Dr. Muhamad Fikri Aziz berkata, terdapat beberapa program lagi yang berpotensi untuk ditawarkan pada masa akan datang yang boleh melibatkan semua staf di UUM serta komuniti setempat.
Beliau juga menyatakan bahawa dengan penawaran Program SKM ini ia dapat membantu pihak industri dengan melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang kompeten. – Nur Hazlina Ghazali